Program Chef Muda Mahsuri penuhi impian belia kurang berkemampuan, fokus lahirkan ramai cef profesional


  • Massa
  • Selasa, 05 Mac 2024

Lima belia kumpulan pertama yang berjaya menamatkan program Chef Muda Mahsuri selama tujuh bulan.

SELEPAS berjaya melahirkan lima orang graduan di bawah Program Chef Muda Mahsuri, terbaharu seramai 10 lagi remaja yang kurang berkemampuan menerima biasiswa di bawah program itu bermula Mei depan.

Mahsuri Food Sdn Bhd dan Institut Makanan Malaysia (FIM) dengan kerjasama Zakat Selangor telah mengumumkan penganugerahan biasiswa itu di Majlis Konvokesyen dan Penyerahan Tajaan Biasiswa pada Selasa.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri, Datuk Ahmad Tajuddin Idris berkata, program komprehensif selama tujuh bulan itu termasuk penempatan kerja selama tiga bulan di beberapa restoran De.Wan 1958 by Chef Wan.

"Mulai Mei ini, mereka akan menjalani latihan praktikal yang komprehensif dan memperoleh kemahiran berharga di bawah bimbingan cef berpengalaman," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah sepentas dengan Siti Nurhaliza, Khai Bahar idam berduet bersama Ziana Zain

Ahmad Tajuddin berkata, dia berhasrat program itu dapat mengasah kemahiran belia untuk mencapai cita-cita mereka dalam bidang kulinari.

"Dengan cara ini dapat memastikan mereka mempunyai asas yang kukuh untuk berkembang maju.

"Program ini bukan sahaja bagi memanfaatkan resipi dan kemahiran mereka dalam bidang masakan malah dapat memberi mereka keyakinan untuk berkembang dalam industri," katanya.

Dalam pada itu, program Chef Muda Mahsuri juga dibuat dengan bermatlamat untuk memartabatkan masakan Melayu.

"Sebagai satu penghormatan kepada warisan kita, kumpulan belia terdiri daripada lima orang peserta program Chef Muda Mahsuri yang terdahulu telah ditaja oleh Mahsuri untuk menghadiri kursus Sijil Kehadiran Masakan Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kehormat FIM, Mastercef Moh Johari Edrus berharap mampu melahirkan lebih ramai cef profesional di Malaysia.

"Industri Makanan dan Minuman (F&B) di Malaysia merupakan sektor yang berkembang maju yang memainkan peranan ekonomi yang penting dan menyediakan peluang pekerjaan.

"Melalui program ini, kami ingin memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang layak untuk merealisasikan impian mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan industri F&B," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram