Peruntukan biasiswa khas RM4.7 juta taja pengajian pekerja industri pelbagai sektor di Melaka


  • Primer
  • Khamis, 16 Nov 2023

Melaka menerima peruntukan biasiswa pengajian sebanyak RM4.7 juta untuk pekerja industri pelbagai sektor di negeri itu. — Gambar hiasan/Bernama

KERAJAAN negeri Melaka menerima peruntukan Biasiswa Khas Pembangunan Akreditasi berjumlah RM4.7 juta daripada Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC) bagi memacu bidang pendidikan dalam sektor industri.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, menerusi biasiswa berkenaan sebanyak 400 pekerja industri pelbagai sektor di negeri itu ditawarkan mengikuti pengajian diploma profesional dalam pelbagai bidang tanpa dikenakan yuran pengajian.

"Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Invest Melaka dalam usaha memberi ruang dan peluang kepada pekerja pelbagai sektor industri di Melaka untuk menyambung pengajian dalam Professional Diploma in Education Design.

"Ia bukan sahaja dapat meningkatkan nilai tambah khususnya tahap pendidikan dalam kalangan pekerja tapi juga membantu sektor industri terlibat berkembang dengan lebih baik apabila mempunyai tenaga kerja bukan sahaja berkemahiran tetapi turut berpendidikan tinggi," katanya kepada pemberita di Melaka pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Accreditation Development for Human Resources Development Corporation Member Companies: A Strategic Approach to Financing Staff Education and Training While Maximising Return of Investment melibatkan 30 industri di negeri itu.

photo_6246816124721282076_y

Pekerja pelbagai bidang di Melaka berpeluang menerima biasiswa menyambung pengajian. — Gambar hiasan/Bernama

Fairul Nizam berkata, tawaran biasiswa kepada pekerja sektor industri adalah yang pertama dilakukan KLIEC dan tempoh pengajian ditawarkan melibatkan kursus jangka pendek iaitu maksimum enam bulan.

Beliau berkata, pengajian ditawarkan adalah fleksibel agar pekerja sektor industri dapat mengatur masa bekerja dan belajar mengikut jadual mereka.

Katanya, pekerja indutsri yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat diploma di KLIEC boleh membuat permohonan di Invest Melaka dengan segera kerana tawaran adalah terhad.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan UTMSPACE bagi menawarkan peluang pengajian di peringkat diploma dalam bidang pengurusan halal kepada pelajar tahfiz di negeri itu di bawah Program Arba'a.

Menurutnya, program tersebut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pengajian peringkat diploma yang ditawarkan itu adalah selama empat tahun serta diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Menerusi program pengajian ini, pelajar tahfiz akan bekerja sambil belajar iaitu selama dua tahun sebelum belajar sepenuh masa selama dua tahun lagi,” katanya sambil menambah pelajar boleh mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bank tertentu bagi membiayai yuran pengajian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram