Rindu zaman gemilang, Blues Gang imbau kenangan jalan 2km nak naik pentas


  • Hiburan
  • Sabtu, 02 Mac 2024

Blues Gang kini dianggotai tiga anggota asal iaitu Ghani (kanan), Ito (tengah) dan Julian Mokhtar (kiri).

SIAPA tak kenal kumpulan Blues Gang yang popular menerusi lagu kegilaan ramai berjudul Apo Nak Dikato.

Lebih hebat, kumpulan yang mengetengahkan irama 'blues dan rock' itu merupakan satu-satunya kumpulan di Malaysia yang masih mampu berdiri teguh selama 50 tahun.

Perjalanan panjang selama lebih lima dekad itu akan diabadikan dalam bentuk dokumentari dan bakal menemui peminat selepas raya nanti.

Menurut vokalis kumpulan itu, Ito atau nama sebenar Mohd Arif Kendut, dokumentari yang mengisahkan perjalanan seni mereka itu bakal ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman SIAR.

Katanya, dokumentari itu bersempena ulang tahun ke-50 kumpulan Blues Gang pada tahun ini.

Dalam dokumentari itu, banyak memori lama yang diimbas kembali khususnya kenangan semasa zaman kegemilangan kumpulan itu saat mereka mendapat sambutan hebat dari dalam dan luar negara.

Antara memori yang tidak mampu dilupakan adalah semasa kumpulan Blues Gang beraksi di pentas dalam sebuah konsert yang diadakan di Arau, Perlis.

"Terlalu ramai orang yang datang ke konsert kami, lebih 10,000 orang, parkir pun penuh sehingga kami terpaksa berjalan kaki untuk pergi ke stage kira-kira 2 kilometer (km), " katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Ibu kongsi kisah bayi hampir maut gara-gara air masak, pakar beri sebab sebagai pengajaran

WhatsApp Image 2024-03-01 at 9.10.59 PM

Blues Gang bersama penerbit, pengarah dan CEO SIAR, Ali Agung di Majlis Pelancaran Dokumentari pada Sabtu lepas.

BACA LAGI: Ibu panik gigi anak kena cabut 20 batang, ketahui langkah penjagaan mulut dan gusi sejak kecil

Malah, kumpulan Blues Gang juga banyak dijemput untuk mengadakan persembahan di luar negara seperti Melbourne, Australia.

"Dalam tempoh kira-kira lima ke enam bulan kami terpaksa tinggalkan keluarga untuk buat persembahan di Melbourne dan balik ke Malaysia terus munculkan sebuah lagu berjudul Apo Nak Dikato," katanya.

Namun, ahli kumpulan Blues Gang agak kecewa apabila kini kumpulan itu sudah tidak mendapat sambutan sehebat dahulu.

"Kalau dulu konsert Blues Gang dapat sekurang-kurangnya 10,000 penonton," katanya.

Menjadi norma dalam industri muzik, sesebuah karya seni sering kali hanya terkenal dalam sesuatu jangka masa tertentu.

Namun, genre yang pernah popular suatu ketika dulu itu tidak mustahil boleh kembali memeriahkan industri seni semasa.

Menurut penerbit dokumentari itu, Zarul AlBakri, Blues Gang ingin mendapat tempat dalam hati generasi muda yang sememangnya lebih cenderung genre muzik terkini.

"Kami harap dengan adanya dokumentari ini dapatlah menjadikan kumpulan kami dikenali dalam kalangan anak muda kini," katanya.

Mengulas perkembangan semasa, kumpulan itu turut mengeluarkan lagu baharu berjudul Panglima Awang Hitam yang dikeluarkan pada Isnin lepas.

Blues Gang kini dianggotai tiga anggota asal iaitu Ito, Ghani (keyboard) dan Julian Mokhtar (gitar).

Untuk rekod, pada 2018, pemain bass, Jim Mandasamy menghembuskan nafas terakhir dan pada 2022, pemain gitar, Mohd Hazizi Ithnin pula meninggal dunia.

Blues Gang juga kehilangan seorang pemain dram yang merupakan pengasas Blues Gang, Shaik Karim pada 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram