BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan permohonan baharu untuk pengampunan penuh.
Peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan perkara itu pada sidang media di Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut Muhammad Shafee, langkah membuat permohonan baharu itu dilakukan kerana berpandangan Lembaga Pengampunan sebelum ini tidak melaksanakan tugas seperti dikehendaki Perlembagaan.
Mengulas mengenai jangka masa permohonan baharu itu, Muhammad Shafee menegaskan ia tidak akan dilakukan terlalu cepat kerana mahu memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang baharu sahaja mengangkat sumpah.
BACA LAGI: Selain Najib, ada lagi 4 ahli politik pernah dapat pengampunan diraja
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
BACA LAGI: PM Anwar jelaskan jasa Najib kepada negara antara asas keputusan Lembaga Pengampunan
Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya dengan potensi dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Pada masa sama, Lembaga Pengampunan turut memutuskan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sebelum itu, pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram