[VIDEO] Bahana langgar lampu isyarat, 2 penunggang motosikal melambung di Kelantan


  • Tular
  • Khamis, 29 Feb 2024

Tangkap layar dua penunggang motosikal dipercayai cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat dalam kejadian di Simpang Paya Rambai, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

DUA penunggang motosikal dipercayai cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat dalam satu kejadian di Simpang Paya Rambai, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 1.54 pagi Rabu.

Kemalangan tragis itu juga berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dikongsikan di media sosial pada Khamis.

Klip berdurasi 56 saat berkenaan menunjukkan dua penunggang motosikal memecut laju dan bertindak melanggar lampu isyarat yang masih merah.

Tindakan itu menyebabkan mereka dilanggar sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat sehingga mengakibatkan kedua-duanya melayang.

Lebih parah, salah seorang daripada penunggang itu dilihat terkena papan tanda jalan yang diletakkan di kawasan tersebut.

Di pengakhiran video tersebut, kelihatan kedua-dua mangsa dibawa masuk ke dalam sebuah ambulans.

Orang ramai juga turut kelihatan mengerumuni tempat kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Habis depan belakang remuk, wanita panik tertekan pedal minyak langgar kereta lain di Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, salah seorang daripada penunggang motosikal cedera parah selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh SUV pada Rabu.

"Kejadian dikesan berlaku kira-kira pukul 1.54 pagi di persimpangan lampu isyarat Paya Rambai membabitkan dua motosikal dan sebuah SUV.

Berdasarkan rakaman CCTV, pemandu Proton X50 yang juga wanita berusia 26 tahun ketika itu dalam perjalanan dari arah Berek 12 menghala ke Lundang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, SUV dipandu wanita itu tiba-tiba dilanggar dari arah sebelah kanan oleh dua motosikal yang dipercayai ditunggang oleh dua remaja berusia 17 tahun.

"Berdasarkan CCTV itu juga, dua remaja berkenaan dari arah Wisma Persekutuan menghala ke Demit telah melanggar lampu isyarat di persimpangan jalan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, akibat rempuhan berkenaan, kedua-dua penunggang motosikal terjatuh dan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

"Seorang lagi penunggang hanya mengalami luka di bahagian kaki dan menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Jelas Mohd Rosdi, pemandu Proton X50 bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram