TINDAKAN seorang wanita yang cuba menghalau seekor kucing jalanan dengan menggunakan batang mop mendatangkan kemarahan dalam kalangan warga maya terutamanya pencinta haiwan.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dikongsikan di media sosial pada Rabu.
Difahamkan, insiden berkenaan berlaku di hadapan sebuah kedai haiwan yang dikenali sebagai DACO Petsmart dekat Ampang, Selangor kira-kira pukul 9 pagi.
Rakaman itu menunjukkan seorang wanita bertudung hitam menghampiri seekor kucing yang sedang berbaring di tembok kaki lima premis berkenaan, sebelum bertindak menghalaunya.
Haiwan yang ketakutan itu kemudian berlari untuk menyelamatkan dirinya daripada dipukul.
BACA LAGI: [VIDEO] Kakak tangisi pemergian satu-satunya adik perempuan terlibat nahas 3 kenderaan di Kota Bharu
Menerusi ciapan di laman X (Twitter) @LindaElleHafiza, pengguna media sosial itu mengecam perbuatan wanita tersebut yang dianggap tidak berperikemanusiaan itu.
"Mak cik, kau sakit hati apa dengan kucing itu? Dia ada usik kau ke? Tolong tularkan b****** ni, nak buat aduan kepada siapa ya?
"Pekerja (DACO Petsmart) yang jaga kucing itu, bagi makan dan minum. Tidak pernah sekali pun kucing itu berak merata-rata tempat sekitar kawasan itu.
"Dia (wanita tersebut) kerja di sekitar situ tapi bukan di kedai haiwan itu. Pagi esok kalau Oyen kena pukul lagi macam mana?" katanya.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, pekerja-pekerja DACO Petsmart difahamkan sedang mencari mana-mana individu yang berkeinginan untuk membela kucing yang dikenali sebagai Oyen itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram