
SOLACE Synergy Sdn Bhd (Solace), peneraju teknologi mesin penghasilan 'air daripada udara' dengan menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya, akan memperkenalkan produk terbaharu di pasaran tempatan bermula Mac 2024.
Ditubuhkan pada tahun 2019, syarikat itu yang pernah terkesan operasinya akibat pandemik Covid 19 berjaya bangkit menggiatkan lagi aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan komitmen pelaburan sebanyak RM1.5 juta bagi projek tersebut.
Kejayaan itu membolehkan Solace mengeluarkan air minuman beralkali berjenama 'Embun' yang bakal dipasarkan melalui wakil pengedar tunggal, Daain Synergy Sdn Bhd. di bawah rangkaian produk mereka iaitu Nature Made.
Pengarah Solace, Dannial Razali, menjelaskan air jenama 'Embun' istimewa kerana mempunyai kandungan alkali pada tahap 9, dan tahap ketulenan yang tinggi berbanding sumber air yang lain, sekali gus membezakannya dengan air mineral biasa.
Sasaran utama produk ini adalah golongan yang mahu menjaga dan mementingkan kesihatan termasuk orang muda yang aktif bersukan.
Dannial berkata, kajian perubatan menunjukkan bahawa pengambilan air berpH tinggi dapat membantu melancarkan aliran darah, terutamanya selepas aktiviti fizikal yang lasak.
Jelasnya, 'Embun' bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga tetapi juga memberikan manfaat kesihatan yang signifikan.
BACA LAGI: Ibu kongsi kisah bayi hampir maut gara-gara air masak, pakar beri sebab sebagai pengajaran
Solace menggunakan teknologi mengubah udara yang berada di sekeliling kepada air minuman yang tinggi piawaiannya selain benar-benar tulen dan bersih.
"Air alkali ini tidak hanya membantu melawan penyakit osteoporosis dan menstabilkan tekanan darah, tetapi juga dapat melegakan masalah usus dan perut dengan meneutralkan asid refluks," katanya.
Dannial berkata, sebagai permulaan, Solace akan mengeluarkan sekitar 62,000 pek air sebulan, sebelum ditingkatkan mengikut permintaan.
"Kami menyasarkan untuk menguasai lima peratus pasaran tempatan dengan produk jenama 'Embun' ini," ujar beliau lagi.
Solace juga menggunakan teknologi yang sama untuk menghasilkan air yang biasanya digunakan dalam proses rawatan dialisis di Malaysia dalam masa terdekat kerana merasakan potensinya sangat besar.
Menurut Dannial, penghasilan ‘air daripada udara’ dilakukan menggunakan mesin Atmospheric Water Generator (AWG) yang dibangunkan oleh anak-anak tempatan dengan kerjasama Profesor Madya Dr. Ammar Zakaria, antara saintis tempatan terkemuka dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Dannial Razali, menjelaskan air jenama 'Embun' istimewa kerana mempunyai kandungan alkali pada tahap 9.
“Dengan mesin teknologi ini, kami boleh mengubah udara yang berada di sekeliling kita kepada air minuman yang tinggi piawaiannya selain benar-benar tulen dan bersih.
“Kami meniru proses yang berlaku secara semula jadi seperti mana terhasilnya ‘air embun’ di waktu pagi, dan menjadikannya beralkali untuk memberikan lebih manfaat kepada pengguna," katanya.
Tambah Dannial, AWG mematuhi dan melepasi piawaian kualiti pihak berkuasa.
"Kami mempunyai sijil pengiktirafan dari SIRIM dan pihak berkuasa nuklear tempatan, menjamin kualiti dan keselamatan air yang dihasilkan.
“Penggunaan mesin kami telah diuji di pelantar minyak di tengah-tengah lautan, ia terbukti mampu berfungsi dengan baik dan boleh dipercayai kemampuannya. Ia mudah disambungkan kepada bekalan elektrik, menjadikannya sesuai untuk kawasan yang berdepan dengan masalah bekalan air atau dalam situasi kecemasan di pusat-pusat pemindahan ketika berlaku banjir.
“Solace bukan sahaja menyediakan bekalan air alternatif yang selamat, bersih dan tulen tetapi juga membawa teknologi tempatan ke peringkat global, kata Dannial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram