Selain tukar sistem on-call, ada 2 lagi langkah boleh elak pegawai perubatan 'lari' dari sektor awam


  • Massa
  • Khamis, 29 Feb 2024

Fenomena pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pastinya merupakan satu isu yang tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan. — Gambar hiasan/Agensi

ISU keletihan melampau atau 'burnout' dalam kalangan pegawai perubatan bukanlah satu masalah baharu di dalam negara.

Malah, perkara itu menjadi lebih ketara ekoran pandemik Covid-19 yang bermula pada kira-kira empat tahun lalu.

Antara faktor utama menyumbang kepada situasi tersebut antara lain adalah waktu bekerja yang cukup panjang.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), secara purata, doktor di waktu bekerja doktor di Malaysia adalah antara 60 hingga 84 jam untuk tempoh seminggu.

Tidak cukup dengan itu, tekanan yang dihadapi pegawai perubatan di Malaysia diburukkan lagi dengan beberapa masalah lain antaranya elaun yang tidak berpadanan dan status semasa kontrak.

Kesan daripada situasi tersebut, ramai daripada pegawai perubatan mengambil keputusan untuk meninggalkan sektor perkhidmatan awam kerana tidak tahan dengan situasi yang berlaku.

To improve services: Hartal Doktor Kontrak urged the government to increase the healthcare allocation to a minimum of 5% of Malaysia’s gross domestic product. — FAIHAN GHANI/The Star

Nisbah antara doktor dan pesakit di Malaysia masih jauh lebih rendah.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sejumlah 1,696 pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pada 2022 dengan 54 peratus daripadanya selepas menerima tawaran untuk berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun.

Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, beliau berkata, kajian dibuat mendapati 4.5 peratus atau 477 daripada jumlah keseluruhan pegawai perubatan yang meninggalkan sektor awam itu memilih bekerja di luar negara.

Selain itu, menurutnya, lebihan 28 peratus lagi meninggalkan perkhidmatan awam disebabkan alasan peribadi, diikuti enam peratus menerima tawaran berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), mengalami masalah kesihatan (3.5 peratus), melanjutkan pelajaran (2.7 peratus), membuka klinik sendiri (0.8 peratus) dan 0.5 peratus tidak menyatakan sebarang alasan.

Fenomena pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pastinya merupakan satu isu yang tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan.

2275575

Dr Azizan Abdul Aziz.

Ini kerana dilaporkan lebih 70 peratus daripada populasi di dalam negara bergantung kepada penjagaan kesihatan awam untuk keperluan kesihatan mereka.

Sehubungan itu, terdapat beberapa langkah yang dicadang perlu dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi isu tersebut.

1. Peralihan kepada sistem syif

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, antara faktor fenomena pegawai perubatan meninggalkan perkhidmatan awam itu antaranya adalah kerana kumpulan tersebut didapati menghadapi keletihan melampau akibat waktu kerja yang berpanjangan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menukarkan sistem kerja penjagaan kesihatan awam kepada sistem syif sama seperti amalan Arahan Waktu Kerja Eropah (EWTD).

Menurutnya, syor tersebut sudah pun dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Jelas Azizan, EWTD memerlukan pegawai perubatan bekerja secara purata 48 jam.

"Sehubungan itu, MMA mencadangkan agar kerajaan mengguna pakai sistem syif untuk semua doktor yang melakukan tugas atas panggilan dalam penjagaan kesihatan awam dengan pengenalan tiga syif harian," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan selain daripada pengenalan elaun flexi untuk pegawai perubatan, pakar dan subpakar.

Menurut Azizan, sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia ketika ini menyaksikan pegawai perubatan perlu bekerja menggunakan sistem tugasan atas panggilan atau on-call.

2002865

Menurut MMA, secara purata, doktor di waktu bekerja doktor di Malaysia adalah antara 60 hingga 84 jam untuk tempoh seminggu. — Gambar hiasan/Agensi

Sehubungan itu, mereka yang bertugas atas panggilan akan bekerja pada waktu kerja biasa mereka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan kemudian memulakan waktu tugasan atas panggilan mereka dari pukul 5 petang hingga 8 pagi keesokan harinya.

"Ini kemudian diikuti dengan waktu bekerja biasa dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dengan jumlah waktu bekerja tanpa henti selama 33 jam," ujarnya.

2. Tambah bilangan pegawai perubatan

Sementara itu, untuk mengurangkan beban doktor, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan perlu meningkatkan lagi lantikan doktor di dalam negara.

Katanya, meskipun jumlah pegawai perubatan menunjukkan peningkatan, ia belum mencukupi bagi menampung keperluan populasi negara.

Katanya, ia termasuk isu agihan penempatan doktor mengikut negeri yang disifatkan beliau perlu dinilai dengan lebih teliti oleh kerajaan.

"Isunya ialah ia tidak saksama. Bermakna ada negeri yang nisbah doktor berbanding populasi adalah baik, manakala ada negeri nisbah ni sangat tidak saksama.

"Ini menyebabkan beban tugas tinggi. Doktor juga banyak bertebar di bandar berbanding luar bandar.

"Sementara itu, jumlah pakar yang dimiliki negara juga masih tidak mencukupi. Doktor sahaja tidak memadai kerana banyak penyakit kadang kala perlu pakar yang sesuai," ujarnya kepada Majoriti.

K013587

Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.

Pada Mac tahun lalu, MMA menerusi satu kenyataan memaklumkan Malaysia sehingga kini masih belum memenuhi cadangan nisbah seorang doktor bagi setiap 400 pesakit untuk kemudahan penjagaan kesihatan awam di dalam negara.

Di sesetengah hospital, MMA menyatakan nisbah tersebut boleh meningkat setinggi 1 doktor bagi setiap 1,000 pesakit dan terdapat juga kekurangan dalam bilangan orang awam berbanding pakar penjagaan kesihatan.

3. Ubah sistem mentor

Pada masa sama, Dr Sharifa berkata, satu lagi isu perlu ditangani adalah pelaksanaan sistem mentor yang menurutnya mewujudkan budaya tidak sihat dalam sektor penjagaan kesihatan awam negara.

Ini kerana menurut beliau, terdapat sebahagian pegawai perubatan berpandangan bahawa keberadaan sistem latihan berkenaan menyebabkan terjadinya isu buli antara doktor pakar lebih senior dan mereka yang baru sahaja bertugas.

Sistem mentor ini baik kerana memang doktor baru perlu menimba pengalaman dengan doktor senior atau pakar untuk mempelajari teknik baharu dan sebagainya.

"Tapi kadang kala ada senior yang membuli dan ambil kesempatan ke doktor muda dan menjejaskan motivasi kerja mereka," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya KKM meningkatkan pemantauan terhadap isu berkenaan termasuk dengan mengadakan jawatankuasa penilaian bebas.

"Penambahbaikan ini termasuk terhadap sistem aduan yang tidak menyebabkan penalti dikenakan kepada pengadu dan memudahkan doktor untuk menyuarakan pendapat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram