[VIDEO] Remaja 15 tahun ditemukan tersangkut di akar pokok dalam air sehari lepas lemas


  • 112
  • Rabu, 28 Feb 2024

Remaja lelaki berusia 15 tahun yang tenggelam ditemui lemas di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, Baling, Kedah pada Rabu.

REMAJA lelaki berusia 15 tahun yang tenggelam ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, Baling, Kedah ditemukan lemas pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat Muhammad Fakhrullah Mohamad, 15, ditemukan pukul 10.07 pagi pada Rabu di lokasi mangsa tenggelam.

Beliau berkata, mangsa ditemukan tersangkut pada akar pokok dalam air dan operasi menaikkan mayat ke tebing dilakukan.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: 'Kanser bukan tiket untuk mati', pesakit usus tahap 4 tak mudah putus asa, tanam dua impian kembali pulih

BACA LAGI: Ibu panik gigi anak kena cabut 20 batang, ketahui langkah penjagaan mulut dan gusi sejak kecil

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, mayat ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian di dasar sungai.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, remaja lelaki 15 tahun dikhuatiri lemas selepas tenggelam ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Ketil pada Selasa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai pelbagai agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), BBP Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sejak petang Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram