
SETIAP orang mesti pernah mengalami tangan pijar akibat memegang cili atau menumbuk sambal, manakala ada juga yang cemas apabila kejadian itu berlaku tanpa diduga.
Pakar kesihatan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, kesilapan utama yang dilakukan oleh orang ramai adalah mencuci tangan yang pijar dengan menggunakan air semata-mata.
Beliau berkata, tangan seseorang menjadi pijar selepas memegang cili disebabkan ia mengandungi capsaicin, yang mana sebatian itu akan merangsang reseptor deria sakit.
"Kalau kena kulit, kita rasa pijar, kalau kena lidah, kita rasa pedas.
"Capsaicin tidak larut air. Kalau kita cuci tangan dengan air sahaja, capsaicin sukar nak tanggal dari kulit kita dan ia juga larut dalam minyak dan lemak," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Justeru, beliau memberi saranan bahan-bahan yang boleh digunakan untuk meredakan pijar akibat memegang cili.
"Selain mencuci gunakan bahan-bahan tertentu, capsaicin juga boleh ditanggalkan menggunakan geseran.
"Maknanya kena gosok tangan dengan tuala, berus, garam atau hampas kelapa," katanya.
Antara bahan-bahan lain yang disarankannya adalah seperti:
1. SUSU
Susu berlemak dan mengandungi sejenis protein dipanggil casein. Ia akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.
SUSU mengandungi sejenis protein dikenali casein. — Agensi
2. MINYAK
Jika mahu mencuci tangan dengan susu, rasa macam membazir pula. Jadi, kita boleh gunakan minyak yang akan mencairkan capsaicin. Selepas itu, anda juga perlu bilas dengan air sabun.
3. CUKA
Capsaicin bersifat alkali, jadi secara teori bahan berasid boleh meneutralkan atau melemahkan kesannya. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau atau sos tomato.
4. ALKOHOL
Capsaicin juga boleh dilarutkan dengan alkohol. Jadi, boleh gunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol untuk mencuci tangan yang pijar. Gunakan dengan kadar yang banyak.
5. LOSYEN
LOSYEN antara bahan yang boleh menghilangkan rasa pijar akibat cili. — Agensi
Gunakan losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin, kemudian disusuli dengan bilasan air sabun untuk buang losyen yang telah dicemari capsaicin tadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram