[VIDEO] Lima suspek kes gaduh di Batu Kawa diberkas polis, 2 ada rekod jenayah


  • 112
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Tangkap layar video tular mengenai sekumpulan lelaki yang bergaduh di hadapan sebuah premis Jalan Batu Kawa/Matang dekat Kuching pada Khamis.

LIMA suspek lelaki yang diburu polis disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah premis di Jalan Batu Kawa/Matang dekat Kuching, Sarawak berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua individu berusia antara 17 hingga 42 tahun itu diberkas dalam Op Cantas di beberapa lokasi berasingan pada Khamis.

“Dalam tangkapan pertama sekitar pukul 9.10 malam, polis menahan seorang lelaki di Jalan Batu Kawa Skim Penempatan Desa Wira.

“Pada tarikh yang sama lebih kurang pukul 11.30 malam, satu siri tangkapan lagi telah berjaya dilakukan ke atas dua orang suspek utama warga tempatan di Jalan Satok,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: 'Kanser bukan tiket untuk mati', pesakit usus tahap 4 tak mudah putus asa, tanam dua impian kembali pulih

Pada hari yang sama, polis turut memberkas dua lagi suspek di sekitar bandar Kuching.

Abang Zainal menambah, kesemua suspek direman di Mahkamah Kuching selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

BACA LAGI: 'Mungkin Afieq Shazwan lebih baik berbanding saya'

Sementara itu, semakan mendapati dua daripada suspek masing-masing mempunyai 15 dan 30 rekod jenayah antaranya berkaitan dadah.

Terdahulu, polis menafikan insiden pergaduhan sekumpulan individu di hadapan sebuah premis Jalan Batu Kawa/Matang dekat Kuching, Sarawak melibatkan sekumpulan kongsi gelap tetapi sebaliknya pergaduhan antara adik-beradik yang ditemani rakan masing-masing.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang mana jika sabit kesalahan membawa kepada hukuman pemenjaraan selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram