[VIDEO] Habis depan belakang remuk, wanita panik tertekan pedal minyak langgar kereta lain di Klang


  • 112
  • Khamis, 29 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta melanggar beberapa buah kenderaan ketika keluar dari parkir pada Rabu.

POLIS kini menyiasat tindakan seorang pemandu wanita yang melanggar beberapa kenderaan ketika keluar dari parkir dalam kejadian di tepi Jalan Padang arah Jalan Bukit Kapar 1 dekat Klang, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.30 malam Rabu itu turut dirakam oleh orang awam dan tular di laman media sosial.

"Siasatan mendapati kejadian melibatkan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita berumur 28 tahun dipercayai tertekan pedal minyak ketika hendak keluar dari petak parkir.

"Wanita terbabit terlanggar sebuah kenderaan di hadapannya, akibat panik dan cemas dia kemudian menukar gear undur sebelum melanggar dua lagi kenderaan lain," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

BACA LAGI: Khidmat sewa bini orang, lagi laman media sosial tawar aktiviti persundalan terbongkar, ramai minta polis siasat segera

Ujarnya lagi, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

"Siasatan berhubung kejadian dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Low Wee Hong di talian 017-6747946," katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah kereta melanggar beberapa buah kenderaan lain ketika keluar dari parkir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram