KEBIMBANGAN terhadap kualiti perkhidmatan di pusat kesihatan seperti hospital terutamanya di kawasan Tuaran, Sabah kini dilihat semakin serius.
Ia susulan kejadian menyayat hati yang berlaku baru-baru ini melibatkan kematian seorang kanak-kanak dikatakan berpunca daripada kelemahan pihak hospital di Tuaran.
Hal itu diceritakan kembali oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di akaun Facebooknya selepas membuat lawatan di rumah keluarga mangsa.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila kanak-kanak yang dikenali sebagai Aidil@Erjuand Christian itu mula mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di Tuaran kerana demam panas.
Namun, disebabkan kekurangan pakar, penyakit demam denggi berdarah yang dialami mangsa selama beberapa hari gagal dikenal pasti lebih awal sehingga menyebabkan kematian.
Bukan itu sahaja, Wilfred berkata, ia bukan perkara yang pertama kali berlaku dan sebelum ini pernah menyuarakan pendapatnya berhubung penambah baik perkhidmatan doktor pakar di hospital berkenaan.
"Pada ketika keluarga berkumpul menyambut tahun baharu dengan kegembiraan dan gurau tawa sesama mereka, ada pula cerita yang menyedihkan dialami sesetengah keluarga.
"Sebelum ini, saya ada menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan doktor pakar dan kekurangan peralatan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam mengesan penyakit di Hospital Tuaran.
"Namun ada pula pihak yang mengatakan saya ini tidak senang dengan doktor di hospital itu. Tetapi, kali ini sekali berlaku perkara sama pada keluarga mangsa," tulisnya.
Dalam pada itu, hantaran tersebut juga menerima pelbagai reaksi daripada warga maya dan rata-ratanya tidak menafikan bahawa ia sesuatu yang perlu diambil perhatian serius oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Salam takziah, saya terkesan dengan keadaan tersebut kerana saya pernah mengalaminya beberapa tahun lalu melibatkan anak sulung saya," komen Saini Lotimbun.
Pada masa sama, ada juga yang bersetuju agar pihak KKM dapat menyelesaikan isu tersebut dengan menambah bilangan doktor pakar.
"Hospital Tuaran perlukan doktor pakar, semoga keluarga mangsa tabah dengan dugaan ini. Pemimpin prihatin begini yang rakyat mahukan," tulis Usah Kalanos.
"Harap pihak KKM dapat mengambil pengajaran daripada masalah seperti ini kerana ia melibatkan nasib pesakit hidup atau mati. Ia menjadi satu contoh kepada pihak berkenaan atas masalah rakyat yang dipandang remeh," komen Azizah Normin pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram