[VIDEO] Lelaki dikenali Pakwan Carwash maut melambung tinggi dirempuh kereta 'makan jalan' di Batu Pahat


  • Tular
  • Rabu, 28 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan mangsa terpelanting selepas dirempuh dari arah hadapan oleh kereta yang gagal memotong dalam kejadian di Jalan Parit Sulong - Muar, Muar, Johor, pada Selasa.

GARA-GARA kegopohan pemandu lain, seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kejadian kemalangan di Batu 21, Jalan Muar-Parit Sulong, di Batu Pahat, Johor pada Selasa.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar pukul 6.59 pagi itu turut dirakam oleh kamera papan pemuka kenderaan yang berada di lokasi.

Berdasarkan klip berdurasi 31 saat itu, sebuah kereta berwarna putih dilihat sedang dipandu laju dan cuba untuk memotong di laluan bertentangan yang ketika itu turut dilalui mangsa.

Kenderaan itu kemudiannya dilihat gagal untuk mengelak sekali gus menyebabkannya terus merempuh mangsa.

BACA LAGI: Penghantar barang pekak nyaris maut, toleh belakang lihat van dah putus 2 dirempuh kereta api

GHWXzPTW0AI-0Ih

Keadaan motosikal mangsa yang tercampak ke dalam parit akibat kemalangan tersebut.

Impak daripada pertembungan itu menyebabkan mangsa terpelanting setinggi kira-kira lebih tiga meter sebelum tercampak masuk ke dalam parit.

Mangsa, Riduan Abdullah, 58, berasal dari Bukit Tembakau, Umbai, Merlimau, Melaka dan dikenali dengan gelaran sebagai Pakwan Carwash.

Jenazah mangsa dipercayai sudah selamat dikebumikan pada petang Selasa.

Dalam pada itu, menerusi foto yang dikongsikan, kereta berkenaan turut terjerumus ke dalam parit akibat kemalangan tersebut.

Pemandu berkenaan bagaimanapun difahamkan mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di hospital.

BACA LAGI: Khidmat sewa bini orang, lagi laman media sosial tawar aktiviti persundalan terbongkar, ramai minta polis siasat segera

GHWXzFKXwAALZqb

Kereta yang terlibat turut terjerumus ke dalam parit dalam kemalangan tersebut.

Sementara itu, pemilik rakaman video papan pemuka tersebut dilaporkan sudah memberikan keterangan kepada polis sebagai saksi di lokasi kejadian.

"Pertama kali saya jadi saksi kejadian. Trauma saya pagi tadi. On the way nak pergi kerja tiba-tiba nampak kemalangan depan mata. Mujur ada dashcam. Moga nasib arwah terbela.

"Saya dah bagi keterangan pada pihak polis, biar polis yang uruskan semuanya. Saya doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Saya tolong apa yang saya mampu sahaja," tulis Hamizah Padzil di Facebooknya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dalam satu laporan mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, mangsa maut yang merupakan orang kurang upaya (OKU) maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dari arah Muar menghala ke Parit Sulong cuba memotong.

"Mayat mangsa beralamat di Merlimau, Melaka kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

"Pemandu kereta Toyota Vios beralamat di Muar hanya cedera ringan di kepala dan kaki," katanya.

Shahrulanuar memaklumkan ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap pemandu mendapati negatif dadah.

"Orang ramai mempunyai maklumat diminta berhubung dengan balai polis berdekatan bagi membantu siasatan." ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram