TULAR satu kemalangan membabitkan sebuah tren roller coaster yang dipercayai tergelincir keluar dari landasan dalam kejadian di sebuah pesta ria (fun fair) di Raub, Pahang.
Video mengenai kejadian tersebut tular sejak Selasa selepas ia dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook di Group Facebook, Penduduk Raub Pahang.
Berdasarkan klip yang dimuat naik itu, beberapa pengunjung termasuk seorang kanak-kanak dilihat sedang menangis kesakitan dipercayai terkesan akibat insiden tersebut.
Pada masa sama, seorang wanita dewasa didengari turut menjerit kesakitan di dalam video terbabit.
Sementara itu, satu klip tular berasingan turut memaparkan detik-detik sebelum tren roller coaster tersebut yang turut dinaiki beberapa penumpang tergelincir daripada landasan berkenaan.
"Pelik, macam mana boleh terkeluar dari landasan," ujar tulisan dalam video terbabit.
Dalam pada itu, seorang pengguna TikTok yang memuat naik video insiden berkenaan mempersoalkan tahap keselamatan alat permainan di tapak pesta ria berkenaan meskipun harga yang dikenakan agak mahal.
"Dah pergi hari tu, sekali naik RM10. Dah la dua kali pusing sahaja, Tak sampai dua minit. Keselamatan ke laut gayanya," tulis myjuandanza.
Keadaan tren roller coaster yang dipercayai terkeluar dari landasan akibat kemalangan tersebut.
BACA LAGI: Tragedi pemandu maut dipukul di Kajang, 5 penghantar makanan didakwa membunuh
Perkara itu turut dipersetujui oleh rata-rata warga maya yang turut berkongsikan pengalaman mereka berkunjung ke tapak tersebut.
Malah, ada antaranya mendakwa pihak pengurusan seakan-akan mengambil mudah mengenai isu keselamatan pengunjung yang hadir bagi menikmati permainan yang disediakan.
"Hari itu dah pergi, kebanyakan yang main mainan tu pun orang dewasa. Rasa macam tak kena pula bila dewasa yang naik dari budak-budak," ujar Baju Sewa Murah.
"Jika benar apa didakwa, memang pengurusan fun fair ni tak betullah. Patut kalau dewasa ada had umur atau berat beritahu awal-awal. Ni bagi masuk sahaja. Takkan sebab duit semua benda boleh?"soal Fitri Danial CR.
Status kecederaan pengunjung yang terlibat dalam kejadian tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Setakat laporan ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram