SEPASANG suami isteri berdepan detik memilukan selepas hasrat mereka mengadakan majlis aqiqah anak bongsunya tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di Jasin, Melaka pada Selasa.
Kejadian itu sekali gus meragut nyawa bayi pasangan terbabit, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan yang berusia dua bulan kerana cedera parah di kepala dan badan.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.55 petang ketika sedang dirawat di Hospital Melaka.
BACA LAGI : Dagu terbelah, otak bersepai, remaja perempuan putus kepala 'superbike' terbabas langgar pokok di Miri
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa ketika kemalangan berlaku. — PDRM
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, nahas turut membabitkan lima kenderaan lain termasuk kereta dipandu bapa mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah treler membawa muatan kereta tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh Perodua Ativa dinaiki Mohamad Shahizwan Abd Hamid, 35, dan isteri, Nurmadiha Nisa Suhaimi, 34, serta dua anak lelaki termasuk bayi terbabit.
Mohamad Shahizwan yang memandu kereta serta isteri dan seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun dikatakan tidak mengalami kecederaan.
“Treler itu turut merempuh empat lagi kenderaan iaitu sebuah lori, kenderaan Ford Ranger, Perodua Myvi dan Mercedes Benz, namun semua empat pemandu dan tiga penumpangnya selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Jamil berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 11 pagi dengan semua kenderaan juga sedang dalam perjalanan arah selatan.
Siasatan mendapati Mohamad Shahizwan yang juga pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya itu sedang dalam perjalanan bersama keluarga dari Putrajaya menuju ke Kluang, Johor.
“Difahamkan mereka balik ke kampung untuk melakukan ibadah aqiqah bagi menyambut kelahiran bayi berusia dua bulan itu,” katanya.
Setakat ini, polis dilaporkan sudah mengambil sampel darah pemandu treler berusia 39 tahun itu untuk analisis kimia, namun ujian saringan air kencing belum dapat dilakukan kerana dia terpaksa ditahan wad akibat tekanan darah rendah.
Ahmad Jamil berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram