[VIDEO] Legenda All Blacks dah jadi 'Melayu', kongsi puluhan cenderahati pemberian fans lepas lebih seminggu di Malaysia


  • Massa
  • Rabu, 28 Feb 2024

Kain pelekat dan songkok yang dikenakan bekas jaguh ragbi dunia itu turut menarik perhatian warga maya yang rata-rata melahirkan pujian terhadapnya.

BAGI peminat sukan ragbi, Sonny Bill William bukanlah satu nama yang asing dalam sukan tersebut.

Ini kerana sebagai pemain utama pasukan ragbi kebangsaan New Zealand atau lebih dikenali sebagai All Blacks, ketangkasannya ketika beraksi sentiasa menjadi perhatian.

Pada masa sama, keputusannya untuk memeluk Islam juga mendekatkan lagi dirinya bersama peminatnya di Malaysia.

Seperti yang diketahui ramai, sejak lebih seminggu lalu, Sonny mula melakukan lawatannya ke dalam negara bagi menghadiri jemputan untuk beberapa acara keagamaan.

Dalam pada itu, dia turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan komuniti ragbi di Malaysia di samping turut mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas hampir dua minggu berada di Malaysia, Sonny menamatkan lawatannya kali ini pada Isnin lalu dengan pulang ke New Zealand.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Konsert Ed Sheeran elok je', ramai kompelin konsert malam Nisfu Syaaban di Kedah dibatalkan saat akhir sebab tiada permit

download (9)

Sonny ketika beraksi bersama All Blacks. — Agensi

Menerusi perkongsian video terbaharunya di laman X pada Rabu, dia tampil berkongsikan puluhan cenderahati yang diterimanya sepanjang lawatan di dalam negara.

Apa yang lebih mencuri perhatian di dalam klip tersebut, Sonny dilihat segak memakai songkok dan berkain pelekat serta juga menyarung jersi skuad kebangsaan ragbi negara berwarna kuning.

Menerusi perkongsian tersebut, Sonny juga memaparkan beberapa cenderahati diterima antaranya jersi, sejadah dan surat tulisan peminatnya.

"Bagi pihak isteri dan anak-anak saya, saya akan mengucapkan terima kasih banyak-banyak," katanya di dalam bahasa Inggeris sambil turut membacakan sebuah surat yang diterimanya.

Menurut Sonny, kesemua hadiah yang diterimanya itu dianggarkan memiliki berat keseluruhan antara 160 hingga 180 kilogram (kg).

BACA LAGI : Tetap syarat jangan bagi tertuduh kes mahkamah masuk 'live', podcast — Peguam

WhatsApp Image 2024-02-28 at 2.05.31 PM (1)

Sonny membacakan surat diterima daripada peminat.

Beliau yang mula memeluk sejak 2008 itu turut melahirkan harapannya untuk kembali bertemu dengan rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Pakaian dikenakan bekas jaguh ragbi dunia itu turut menarik perhatian warga maya yang rata-rata melahirkan pujian terhadapnya.

"Pelekat dan songkok. Anda sekarang ialah Melayu," seloroh amaraziz09.

"Steady Sonny pakai kain pelekat," tulis NabilHussein.

"Anda kelihatan segak dengan kombo pakaian kain sarung dan songkok. Penampilan tipikal seorang ayah berbangsa Melayu," ujar fikriesalam_m2t.

Sonny yang merupakan bekas pemain kebangsaan New Zealand pernah bersama pasukan tersebut menjuarai Piala Dunia Ragbi sebanyak dua kali masing-masing pada 2011 dan 2015. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram