Terpegun cara bersalaman, legenda ragbi New Zealand kongsi pertemuan bersama 3 anak Malaysia di Madinah


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Sonny memeluk Islam pada 2009. — Agensi

SONNY Bill William yang terkenal dalam kalangan peminat sukan ragbi meluahkan rasa kagum dengan akhlak yang ditampilkan rakyat Malaysia dalam menghormati orang yang lebih tua.

Pemain ragbi New Zealand yang juga seorang Muslim itu meluahkan perkara ini di laman sosial Twitter miliknya pada Rabu semasa dia mengerjakan umrah dan bertembung dengan keluarga dari Malaysia.

“Sebuah keluarga Malaysia dengan tiga budak lelaki mahu bergambar dengan saya hari ini (Rabu). Kesemua tiga kanak-kanak bersalaman dengan saya, memandang mata saya, menundukkan kepala mereka dan menyentuh belakang tangan saya dengan dahi mereka.

“Kanak-kanak lelaki ini ada rasa hormat menghormati dalam keluarga mereka, ia sangat indah,” katanya memuat naik gambar dua budak warga Malaysia yang bergambar ketika dia di Madinah, Arab Saudi.

Dua peminat cilik bergambar bersama Sonny di Madinah.

Bekas legenda ragbi New Zealand ini sememangnya dikenali dengan seorang yang taat kepada agama Islam.

Sejak memeluk Islam pada 2009, Williams tidak pernah meremehkan soal agamanya dan sering melakukan perkara yang dituntut seperti solat lima waktu serta berpuasa.

Ciapan yang dimuat naik nyata menarik perhatian ramai dengan rata-ratanya menerangkan kepadanya bahawa ia adalah nilai-nilai yang dipraktikkan oleh kaum Melayu yang beragama Islam di Malaysia.

"Ia adalah budaya orang Melayu untuk tunduk dan cium belakang tangan jika bersalaman dengan orang yang lebih tua," kata @Nasirrajuli.

"Begitulah cara orang Melayu ketika menyapa dan menghormati orang yang lebih tua," jelas @Flower_for_Woo.

"Dalam budaya Melayu, menghormati orang yang lebih tua adalah penting. Ia menyatakan kasih sayang dan rasa hormat terhadap keluarga dan budaya seseorang," ujar @NazmiHanafiah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram