Kematian lelaki, wanita dalam kereta di stesen minyak Muadzam Shah tiada unsur jenayah — Polis


  • 112
  • Rabu, 28 Feb 2024

Mayat lelaki dan wanita itu ditemukan di dalam kereta di kawasan parkir sebuah stesen minyak dekat Muadzam Shah, Rompin pada Selasa. — Facebook

KES kematian seorang lelaki dan wanita yang ditemukan di dalam kereta di kawasan parkir sebuah stesen minyak dekat Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada Selasa disahkan tidak mempunyai unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, siasatan mendapati semua barangan peribadi mangsa berada di dalam kenderaan terbabit.

Tambahnya, semakan terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak tersebut juga mendapati mangsa memandu kereta dan meletakkan kenderaan di kawasan parkir stesen minyak itu pada pukul 6.42 pagi.

BACA LAGI: Penghantar barang pekak nyaris maut, toleh belakang lihat van dah putus 2 dirempuh kereta api

“Mangsa juga tidak keluar daripada kenderaan. Pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ke lokasi kejadian dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ke atas mangsa ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

Nor Azman berkata, mayat lelaki dan wanita itu yang masing-masing berusia 41 tahun dan 43 tahun dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

BACA LAGI: Khidmat sewa bini orang, lagi laman media sosial tawar aktiviti persundalan terbongkar, ramai minta polis siasat segera

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menyebabkan siasatan polis terganggu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis di talian 09-4145999,” katanya.

Media sebelum itu pada Selasa melaporkan mengenai penemuan dua individu yang sudah meninggal dunia di dalam sebuah kereta berkunci di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Muadzam Shah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram