SEORANG lelaki berdepan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau-keduanya susulan tindakannya membenarkan kanak-kanak memandu kereta di kawasan taman permainan Taman Daya, Johor Bahru, Johor pada Ahad lepas.
Kejadian itu dikesan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan selepas menerima maklumat berhubung gambar tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak sedang memandu kenderaan di jalan raya awam dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelah tempat penumpang.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek berusia 25 tahun juga dikenakan tindakan saman atas kesalahan Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
"Suspek juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," katanya.
Kejadian itu terjadi di kawasan taman permainan Taman Daya, Johor Bahru, Johor.
"Hasil siasatan yang dijalankan, pihak IPD Johor Bahru Selatan mengesahkan kejadian berlaku Ahad lalu sekitar pukul 5.30 petang di kawasan Taman Permainan Taman Daya.
"Ketika kejadian, suspek yang juga merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak tersebut telah membenarkan kanak-kanak itu memandu kereta dengan tujuan mengajarnya memandu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Raub berkata, kes juga disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram