TEKANAN daripada isu projek Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) ternyata masih lagi menjadi antara masalah yang membelenggu penduduk di sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Bukanlah satu isu baharu, malah ia pernah dibangkitkan orang ramai beberapa tahun sebelum ini hingga ada yang sanggup mengadakan protes di tepi jalan beramai-ramai sebagai satu cara untuk meluahkan ketidakpuasan hati atas projek tersebut.
Untuk makluman, PJD Link ialah sebuah lebuh raya penyuraian sepanjang 25.4 kilometer (km) yang menghubungkan Damansara dengan Kinrara, Puchong.
Lebuh raya itu bertujuan mengurangkan kesesakan di sepanjang beberapa lebuh raya yang berhubung, iaitu Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Sprint.
Lebuh raya itu akan menghubungkan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.
Isu PJD Link pernah dibangkitkan orang ramai beberapa tahun sebelum ini hingga ada yang sanggup mengadakan protes di tepi jalan beramai-ramai.
Bagaimanapun, beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaporkan akan menerima kesan sekiranya projek berkenaan diteruskan.
Antaranya termasuk di Bukit Gasing, Bandar Utama dan Kinrara.
Menurut seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Mokhtar, 57, berkata, isu PJD Link yang laluannya dikatakan mirip dengan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) sebenarnya sudah berterusan selama beberapa tahun.
"Dulu penduduk siap pasang sepanduk luar rumah, ada yang sampai bawa banner tunjuk perasaan ramai-ramai semata-mata nak bantah projek itu.
"Bagi saya alasan untuk elak kesesakan jalan raya agak tidak relevan sebab kalau pembinaan lebuh raya itu tetap dilaksanakan, jumlah kenderaan akan semakin bertambah. Jadi macam mana kata boleh selesaikan masalah jalan raya sesak," katanya ketika ditemui Majoriti.
Penduduk sebelum ini pernah membuat demonstrasi secara aman bagi membantah pembinaan projek PJD Link.
Mokhtar berkata, dia tidak melihat pembinaan lebuh raya itu akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas, tetapi hanya akan mengakibatkan pencemaran bunyi dan alam sekitar.
Tambahnya, sekiranya isu PJD Link masih diteruskan dan tidak ada hasil seperti yang diharapkan penduduk, tidak mustahil ia akan menjejaskan undian rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
"Susah juga macam ini sebab dah bertahun-tahun masih sama, cubalah tanya penduduk sini, majoritinya memang tidak bersetuju dengan projek itu.
"Yang kita bimbang akan ada yang sampai hilang tempat tinggal jika pihak berkepentingan masih mahu meneruskan juga projek ni.
"Lagipun, keadaan ini boleh memusnahkan tumbuh-tumbuhan, dan lebih parah, ia akan menyebabkan banjir menjadi teruk kelak," luah pekerja swasta itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram