SEORANG pekerja ladang cedera parah selepas besi yang digunakan untuk mengutip sawit tertusuk pada perutnya di sebuah ladang sawit, di Sandakan, Sabah pada Rabu.
Mangsa berusia 21 tahun itu kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan bagi mendapatkan rawatan kecemasan bersama besi yang masih menusuk perutnya.
Pihak hospital juga difahamkan terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba kerana sukar mengeluarkan besi berkenaan.
BACA LAGI: Wanita maut, kereta terbabas tertusuk besi penghadang jalan di Pan Borneo
Pihak bomba yang berusaha mengeluarkan besi tersebut. — Facebook
BACA LAGI: Kereta rentung tertusuk besi, mangsa cari pemandu lori punca kemalangan di Lanchang
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan dari Bahagian Kecemasan hospital pukul 10.35 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi berkenaan.
"Mangsa lelaki tertusuk besi alat pengutip sawit (Loading Spike T-Handle) di perut ketika menjalankan aktiviti mengutip sawit.
"Pasukan bomba bertindak memotong besi dengan menggunakan mesin pemotong besi (grinder)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan pada pukul 11.07 pagi," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram