SEORANG wanita maut, manakala lima lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan tertusuk besi penghadang jalan dalam kemalangan di kawasan Suai Jalan Pan-Borneo, Miri, Sarawak pada Ahad.
Video kemalangan ngeri tersebut turut tular di media sosial dan menarik perhatian warga maya.
Manakan tidak, melalui video berdurasi 25 saat itu, jelas kelihatan besi penghadang jalan berkenaan tertusuk hingga ke bahagian belakang kereta.
Turut kedengaran suara pilu seorang wanita dipercayai saudara mangsa menangis di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie mengesahkan mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali Diana Tinsie Douglas berusia 20 tahun.
"Lima lagi mangsa termasuk tiga kanak-kanak turut mengalami kecederaan dan dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan bagi diberikan rawatan lanjut.
"Sepasukan anggota dari BBP Batu Niah bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.36 petang.
"Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut berada di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram