[VIDEO] Dipercayai kemaruk nak popular di TikTok, lelaki bakar kereta polis di PJ sah positif dadah


  • 112
  • Khamis, 15 Feb 2024

Tangkap layar memaparkan suspek memuat naik rakaman perbuatannya yang sengaja membakar sebuah kenderaan polis sehingga rentung di Mutiara Damansara, Selangor pada awal pagi Khamis.

POLIS tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan seorang lelaki membakar kereta polis bantuan Prasarana di Mutiara Damansara, Bandar Utama, Selangor pada Khamis dibuat kerana mahu meraih populariti di Tik Tok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan itu ditahan di flat Flora Damansara sekitar pukul 10 pagi Khamis.

"Hasil siasatan mendapati, suspek tidak memiliki rekod jenayah lalu, namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Done bakar kereta polis, puas hati aku', suspek utama dedah pekung sendiri, terang-terang mengaku di TikTok

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek khianat, bakar kereta di Klang masih siuman, ada 6 rekod jenayah dan positif dadah jenis morfin

Mohd Fakhrudin berkata, polis turut merampas beberapa peralatan antaranya tukul besi dan botol air yang dipercayai digunakan untuk mengisi petrol bagi digunakan dalam kebakaran itu.

Pada masa sama, beliau dilaporkan berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian.

"Pada masa kini kita masih menyiasat motif kejadian ini, termasuk mengambil kira kemungkinan suspek ingin mencari jumlah trafik tinggi untuk akaun Tik Tok miliknya," ujarnya.

Mohd Fakhrudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram