[VIDEO] Memekak 'rem' motor, 28 murid sekolah termasuk 26 calon SPM masuk 'pukat'


  • 112
  • Selasa, 20 Feb 2024

Seramai 28 pelajar Tingkatan Lima yang ditahan susulan tindakan membuat bising di Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.

TINDAKAN 28 pelajar Tingkatan Lima membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal masing-masing memakan diri apabila ditahan polis berdekatan sebuah bangunan kosong di Jalan Kemboja, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor pada Isnin.

Tangkapan tersebut dilakukan selepas menerima sebanyak enam aduan daripada pihak sekolah serta penduduk setempat ekoran kegiatan yang menganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dilaporkan berkata, kesemua remaja itu didapati kerap mengambil peluang untuk berbuat demikian.

BACA LAGI: Lepas RnR Bagan Ajam kena ‘pukat’, mat motor belah Utara jadikan Sungai Dua port baharu litar lumba

BACA LAGI: Calon SPM jangan terganggu, KPM siasat dakwaan kertas Sejarah bocor

Hasil siasatan juga dikatakan mendapati, seramai 26 daripada mereka merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Bukit Sentosa, manakala dua lagi bukan calon SPM.

"Mereka akan berkumpul di kawasan bangunan kosong untuk 'rem' motosikal masing-masing.

"Oleh itu, polis mengambil tindakan dengan menahan kesemua mereka yang berusia 17 tahun untuk tindakan lanjut," katanya.

Ahmad Faizal dilaporkan berkata, polis turut mengeluarkan enam saman atas kesalahan tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi.

Menurutnya, kesemua remaja yang ditahan diarah menolak motosikal ke Balai Polis Bukit Sentosa dengan jarak kira-kira 3.5 kilometer.

Terdahulu, video memaparkan perbuatan remaja terbabit juga tular di media sosial dan dilihat terpaksa mengusung motosikal masing-masing ke balai polis berhampiran.

Dalam video sama, jelas terlihat kesemua pelajar terlibat lengkap berpakaian seragam sekolah ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram