Kes dera bayi di taska Semenyih rupanya bukan kali pertama, ramai dedah situasi sama di cawangan lain


  • Massa
  • Isnin, 12 Feb 2024

Kes penderaan kanak-kanak autistik di sebuah taska di Semenyih, Selangor yang tular sejak Sabtu lalu.

SELEPAS tularnya kes penderaan melibatkan seorang bayi autistik di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Semenyih, Selangor sejak Sabtu lepas, kini muncul pula dakwaan baharu berhubung kejadian itu.

Menerusi hantaran dimuat naik di Twitter (X) @amyranadyaa, dia mendedahkan beberapa perbualan mesej yang diterima daripada beberapa individu mendakwa pernah berdepan dengan situasi tersebut di syarikat pusat asuhan sama.

Dalam salah satu hantarannya itu, seorang ibu mendakwa bahawa anaknya yang baru berusia sekitar empat hingga lima bulan sudah diberikan makanan pepejal disyaki bubur sayur sehingga menyebabkan cirit-birit.

BACA LAGI : Disyaki dera bayi syurga, 2 pengasuh muda taska di Semenyih dicekup

msg1050426791-24934

Tangkapan skrin mesej yang dikongsikan pengguna terbabit. — Twitter

Individu tersebut turut mendakwa, pihak taska cuba menyorokkan bukti kesalahan yang dilakukan dengan tidak memberi kebenaran melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas kejadian itu.

"Kantoi apabila najis anak saya ada sisa makanan. Cikgu yang bagi anak saya makan pun orang lain. Tapi sepatutnya mereka kena sahkan dan tanya pada cikgu lain juga.

"Alhamdulillah tiada kecederaan serius tapi anak saya cirit-birit selama beberapa hari juga," dakwanya.

BACA LAGI : 'VC' dengan kenalan ketika bekerja bongkar kes dera anak syurga di taska Semenyih

Bukan itu sahaja, dia mendakwa bahawa sistem pengurusan taska tersebut tetapi di cawangan Saujana Putra juga dikatakan sangat teruk.

Dakwanya lagi, pihak taska hanya bertindak memindahkan pengasuh terbabit di bahagian lain dan tiada tindakan tegas yang dilakukan susulan kejadian itu.

Dalam hantaran terbaharu, terdapat juga tangkapan skrin mesej yang dipercayai diterima daripada bekas pengasuh yang pernah bekerja di pusat asuhan sama.

"Saya pernah bekerja di taska tersebut lepas habis Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Saya kerja seminggu sahaja dan berhenti," kongsinya.

Dalam mesej sama, dia mendakwa bahawa tindakannya itu disebabkan sistem penjagaan kanak-kanak yang seolah-olah tidak selari dengan perkara sepatutnya.

msg1050426791-24935

Mesej pendedahan yang dipercayai daripada bekas pengasuh pusat asuhan tersebut. — Twitter

Dakwanya, para pengasuh ditugaskan untuk menangkap gambar setiap kanak-kanak sedang makan bersama pinggan masing-masing.

Namun, hakikatnya kesemua kanak-kanak asuhan itu didakwa hanya berkongsi satu mangkuk.

Lebih parah lagi apabila dia mendakwa makanan yang disediakan pihak taska sebenarnya tidak mencukupi untuk semua kanak-kanak.

"Tak cukup pun untuk semua budak, tapi mereka beritahu ibu bapa, makanan di sini bagus," dakwanya lagi.

Dia turut mendakwa, pihak taska melarangnya untuk melayan kanak-kanak dengan manja kerana dikatakan khuatir akan lebih susah mengawal keadaan.

Pendedahan tersebut sekali gus menerima pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat taska berkenaan.

Walaupun sebelum ini pihak polis sudah mengambil tindakan terhadap kes awal yang berlaku, namun ia dilihat tidak memberi impak besar kepada pihak pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram