Elak kejadian lemas Pantai Batu Buruk berulang, PBT negeri patut contohi New Zealand


  • Massa
  • Isnin, 19 Feb 2024

Papan tanda amaran yang diletakkan di seluruh pantai di New Zealand. — Agensi

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk dekat Kuala Terengganu, Terengganu diperluaskan sehingga lima kilometer (km) pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar dilaporkan berkata, setakat 10 pagi Isnin mangsa, Zulkarnain Mohamed Zubir, masih belum ditemukan.

Mangsa yang berusia 44 tahun dilaporkan hilang dibawa arus selepas dikhuatiri lemas ketika dia ditarik ombak besar pada Ahad.

Video kejadian yang berlaku pada pukul 11.31 pagi Ahad itu turut tular di media sosial dan menjadi bualan dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki hilang depan mata keluarga, kena tarik ombak musim tengkujuh di Pantai Batu Burok

Zulkarnain dilaporkan hilang dibawa arus selepas dikhuatiri lemas ketika dia ditarik ombak besar pada Ahad.

BACA LAGI: Belum terima laporan forensik, kes bunuh Bella ditetapkan 11 Mac depan

Malah ada yang berpendapat tragedi malang itu dapat dielakkan sekiranya pantai tersebut mempunyai papan tanda amaran.

Seorang pengguna warga maya di laman X (Twitter), Pradeesh mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri sepatutnya boleh belajar dengan kerajaan New Zealand.

"Satu benda yang boleh belajar dari pantai-pantai di New Zealand, ada indicator (papan tanda amaran). Senang orang nak baca.

"Harap kerajaan negeri ini buatlah sesuatu, letak papan tanda besar-besar.

"Kalau musim cuaca okay, letak tanda 'hijau' dan tanda paras bahaya.

"Tetapi kalau masih ada yang degil, tak tahu nak kata apa," ciapnya.

Tambahnya lagi, New Zealand turut mempunyai laman web yang menunjukkan pantai selamat boleh dikunjungi orang awam.

"Layari sahaja laman sesawang http://safeswim.org.nz, siap tunjuk lagi pantai mana okay, ada life guard (anggota penyelamat pantai), amaran ombak dan risiko setiap pantai.

"Saya rasa kerajaan negeri boleh buat untuk kurangkan kes. Alangkah bagusnya kalau Malaysia ada laman web seperti ini,"katanya lagi.

Untuk makluman, setiap pantai di negara ini mempunyai papan tanda amarannya yang tersendiri yang mana PBT tempatan lebih banyak menggunakan tanda amaran berbentuk bendera merah atau hijau.

Namun, sikap pengunjung yang tidak mempedulikan tanda amaran tersebut menyebabkan berlakunya tragedi di sesetengah tempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram