'Engkau ni bodoh, tak pandai bagi signal', pembuli jalan raya brutal belasah pesara depan klinik di Sepang


  • 112
  • Selasa, 06 Feb 2024

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dipukul suspek dalam kejadian berdekatan sebuah klinik di Putra Perdana, Selasa lalu.

SEORANG warga emas berusia 73 tahun dilaporkan cedera parah setelah dipukul dalam kejadian berdekatan sebuah klinik di Taman Tasik Puchong Prima, Putra Perdana, Sepang, Selangor pada 30 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan seorang pesara memandu dari Brickfield, Kuala Lumpur menuju ke Putra Perdana untuk berjumpa rakannya.

"Mangsa dipukul seorang lelaki tanpa sebab. Suspek dalam kejadian ini turut mengeluarkan kata-kata 'engkau ni bodoh, tak pandai bagi signal'.

"Suspek memukul mangsa di muka, kepala dan rusuk," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nenek ni yang pukul pekerja kami dulu', pemilik glamping Melaka pertahan tindakan lenjan orang tua pakai kayu

WhatsApp Image 2024-02-06 at 21.26.31

Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan susulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Berselisih isu bakar sampah, polis tahan lelaki pukul warga emas di Melaka

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa kemudian tetap meneruskan perjalanannya, namun dia diekori oleh suspek sehingga tiba di hadapan sebuah kedai bakeri yang terketak kira-kira 1 kilometer (km) dari lokasi awal kejadian.

Jelasnya, suspek bertindak menumbuk mata dan menendang mangsa bertubi-tubi sebelum meninggalkan mangsa yang berada dalam kesakitan.

"Mangsa dibawa oleh ambulans ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

"Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak di kepala, lebam di mata kiri, patah tulang pipi kiri dan patah bawah tulang mata kiri," ujarnya.

Beliau menjelaskan, suspek yang merupakan seorang peniaga lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang Isnin.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau jenayah.

Permohonan reman selama empat hari telah dibuat di Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram