Kerajaan sukar tampung subsidi jika syarikat penerbangan ikut cara kawal harga tiket ekspres


  • Massa
  • Rabu, 14 Feb 2024

Masalah peningkatan mendadak harga tiket penerbangan sering kali menjadi isu utama ditimbulkan dalam kalangan pengguna setiap kali tiba musim perayaan. — Majoriti

SETIAP kali tibanya musim perayaan, masalah peningkatan mendadak harga tiket penerbangan sering kali menjadi isu utama ditimbulkan dalam kalangan pengguna.

Masalah ini menjadi lebih membebankan khususnya buat mereka yang mahu membuat perjalanan pulang ke destinasi Sabah dan Sarawak dengan menaiki kapal terbang.

Kenaikan harga tiket yang berlaku itu boleh mencecah sehingga lima kali ganda berbanding di luar musim perayaan susulan daripada peningkatan permintaan yang berlaku ketika tempoh tersebut.

Situasi itu berlaku kerana penetapan harga tiket berkenaan bergantung sepenuhnya terhadap aspek penawaran dan permintaan.

Untuk memastikan kenaikan tersebut berada di tahap yang terkawal, antara cara yang digunakan oleh syarikat penerbangan adalah dengan menambahkan jumlah penerbangan yang disediakan.

Menyentuh mengenai isu tersebut, terdapat warganet tampil mempersoalkan mengapa kerajaan tidak melaksanakan penetapan harga terhadap sektor penerbangan sama seperti dibuat kepada perkhidmatan bas ekspres.

BACA LAGI: 'Takkan asyik terlepas bas', Imigresen digesa gempur warga asing disyaki buat TBS macam rumah

chinese new years air ticket  ONG SOON HIN /The Star

Kenaikan harga tiket ketika musim perayaan boleh mencecah sehingga lima kali ganda berbanding di tempoh biasa. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Penduduk Kapar cemas, pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda

Pada 30 Januari lalu, kerajaan menetapkan kadar tambang lantai bagi perkhidmatan bas ekspres jenis eksekutif adalah sebanyak RM0.15 per kilometer.

Sementara itu, kadar tambang siling bagi perkhidmatan bas ekspres jenis ekonomi pula adalah RM0.093 per kilometer.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, langkah itu selaras Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Penetapan Kategori Perkhidmatan Bas Ekspres) 2022.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, pakar pengangkutan awam daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, tindakan penetapan harga tambang itu sememangnya sukar dilaksanakan terhadap sektor penerbangan.

Ini kerana menurutnya, langkah sedemikian bakal menjejaskan daya saing dan operasi khususnya kepada syarikat penerbangan di dalam negara.

"Perlu juga diingatkan bahawa syarikat penerbangan di dalam negara ini turut bersaing dengan di pasaran antarabangsa melalui destinasi perjalanan ke luar negara.

"Ini berbeza dengan bas yang hanya memenuhi permintaan di dalam negara. Jadi kalau dia buat penetapan harga kadar tambang tetap, ia akan menjejaskan tahap daya saing syarikat penerbangan tersebut," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Teik Hua berkata, berbanding perkhidmatan bas ekspres, kos operasi bagi sektor penerbangan juga berkali ganda lebih tinggi.

Ujarnya, situasi ini menyebabkan kerajaan sukar menampung pemberian subsidi sekiranya ia turut dilaksanakan terhadap sektor berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram