Penumpang berang tuntut ganti rugi susulan penutupan mengejut operasi MYAirline


  • Massa
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Ramai penumpang yang terkandas dan terkejut dengan pengunguman mengejut penutupan operasi daripada MYAirline pada Khamis.

SUSULAN penutupan operasi syarikat penerbangan tambang murah, MyAirline Sdn Bhd (MYAirline) pada Khamis, beberapa penumpang meluahkan rasa kecewa mereka terhadap tindakan itu.

Salah seorang penumpang yang terkandas, ahli perniagaan Danish Abdullah, 29, terkejut dengan pengumuman tersebut selepas sudah bersiap sedia untuk terbang bersama keluarganya dari Kota Baru ke Kuala Lumpur pada Ahad.

Dia yang menerima berita itu daripada pemandu perkhidmatan transit lapangan terbang menerusi panggilan telefon menyebabkan Danish dan empat ahli keluarganya terpaksa berebut untuk mendapatkan pengangkutan lain pada waktu itu.

“Saya benar-benar terkejut apabila mengetahui berita itu, jadi saya segera cuba pergi ke kaunter mereka untuk menjelaskan tempahan saya, tetapi mereka sudah tidak beroperasi,” katanya pada Khamis.

Katanya, dia juga kecewa kerana tidak dimaklumkan mengenai status tempahannya lebih awal.

“Apabila saya membeli tiket, laman sesawang menyatakan penerbangan masih beroperasi. Syarikat penerbangan sepatutnya mengambil inisiatif untuk memaklumkan kepada pelanggan mereka dengan lebih awal sebagai tanda ihsan,” katanya sambil menambah bahawa dia cuba untuk menghubungi nombor perkhidmatan pelanggan namun tidak berjaya.

“Saya harap saya akan mendapat bayaran balik kerana saya juga telah menghantar e-mel kepada mereka mengenai situasi itu. Saya tidak pasti berapa lama masa yang diperlukan untuk mendapatkan semula wang saya,” katanya.

Pada masa yang sama, ada juga penumpang lain di seluruh media sosial dan di lapangan terbang yang turut berang dan menuntut agar MYAirline bertanggungjawab atas kerugian mereka berikutan pembatalan dan penggantungan perkhidmatan.

“Saya sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menunggu untuk mendaftar masuk bagasi saya pada pukul 7.30 pagi. Saya menunggu dari pukul 4 pagi hingga 5.40 pagi tetapi tidak dapat melihat seorang pun kakitangan di kaunter.

"Semua kosong, semua penumpang menunggu seperti orang bodoh," kata pengguna media sosial bernama Puteri Balqiis.

Tambahnya, syarikat penerbangan itu harus membayar balik pelanggan dengan segera kerana mereka mempunyai urusan penting. Dia juga mengecam syarikat penerbangan itu kerana tidak memberitahu penumpang dengan lebih awal.

Bukan itu sahaja, seorang lagi pengguna media sosial yang dikenali sebagai Saestraa berkata, perkara yang sama juga berlaku kepada adiknya.

“Dia tidur di lapangan terbang malam tadi bersama suaminya. Syarikat penerbangan itu hendaklah sekurang-kurangnya memberi notis sehari kepada semua orang,” katanya.

Manakala, Suziana Ottoh, 36, hanya menyedari pembatalan penerbangan itu kira-kira pukul 10 pagi selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Lahad Datu, yang jaraknya lebih 400km pukul 6 pagi pada Khamis.

Menurutnya, dia dan lima anaknya sepatutnya terbang ke Kuala Lumpur pada pukul 4.20 petang pada Sabtu tetapi ditunda ke pukul 9.50 malam.

“Tetapi saya tidak pasti sama ada penerbangan 9.50 malam itu telah dibatalkan atau tidak. Jika dibatalkan lagi seperti Khamis, ia akan membuang masa saya,” katanya kepada Bernama di KKIA di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Suziana berkata, dia terpaksa datang dua hari lebih awal supaya tidak terlepas penerbangan seperti yang berlaku sebelum ini di mana syarikat penerbangan itu tidak membenarkannya menaiki pesawat kerana terlewat beberapa minit.

Dalam pada itu, seorang lagi penumpang, Fresella June Gunihas, 22, yang datang ke pusat jualan MYAirline turut menuntut penjelasan mengenai jadual penerbangannya yang sepatutnya pada 18 Oktober lalu tetapi diubah.

Dia berkata, berikutan masalah itu, dia terpaksa membayar RM1,600 kerana kesilapan dalam sistem syarikat yang menukar tarikh penerbangannya kepada November.

“Saya dikehendaki membayar harga tambahan dan penalti yang bukan salah saya. Saya benar-benar tidak faham sistem MYAirline ini,” kata Fresella yang ingin ke Kuala Lumpur melawat ahli keluarga yang sakit.

Fadzhil Rosleh, 32, turut melahirkan rasa kecewa apabila tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk kakak, ibu dan anak saudaranya yang dijadualkan petang Khamis dibatalkan.

Dia berkata, kakaknya Diana Rosleh, 31, tiba dari Kuala Lumpur pada Rabu dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur Khamis.

“Sekarang ini, kami tidak tahu dengan siapa kami perlu berurusan kerana pusat jualan MYAirline juga ditutup. Tiket sudah dibeli dan bukan murah,” kata Fadzhil yang berasal dari Kota Kinabalu.

Pada Khamis, dua penerbangan iaitu Kota Kinabalu-Tawau dan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur telah dibatalkan oleh syarikat penerbangan tersebut.

Di Sabah, penggunaan kapal terbang terutamanya dari Kota Kinabalu ke pantai timur dan kawasan pedalaman merupakan satu keperluan berikutan masa perjalanan yang diambil sangat panjang jika melalui jalan darat.

Sementara itu, Syarikat penerbangan MYAirline telah memohon maaf atas tindakan mereka yang mengeluarkan notis penggantungan operasi secara mengejut sehingga menyebabkan sebilangan besar penumpang tidak mendapat maklumat dalam tempoh masa mencukupi.

Ekoran itu, MYAirline tidak mampu menawarkan sebarang pilihan pemulihan segera kepada penumpang yang terkandas di lapangan terbang susulan masalah kewangan yang tidak dapat dielakkan katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Setakat ini, MYAirline juga sedang meneroka kesemua jalan terbaik untuk mengaktifkan semula operasinya.

“Kami memohon kesabaran daripada kesemua pemegang taruh, sementara kami menilai pilihan yang ada. MYAirline akan terus mengeluarkan kemas kini jika ada,” katanya. — The Star/Rahimy Rahim

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram