MAS hampir ditutup,ini 3 isu selain MYAirline pernah jejaskan syarikat penerbangan negara


  • Massa
  • Khamis, 26 Okt 2023

MAS juga pernah mencatat kerugian bersih tertinggi dalam sejarahnya iaitu sebanyak RM2.52 bilion pada 2011. — Gambar hiasan

INDUSTRI penerbangan Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan pengumuman penggantungan operasi oleh syarikat penerbangan tambang murah negara, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline).

Perkembangan itu disifatkan sebagai sesuatu yang agak di luar jangka kerana syarikat tersebut baru sahaja memulakan operasinya pada tidak sampai setahun.

Untuk rekod, MYAirline yang secara rasmi diasaskan pada awal 2021 memulakan operasi penerbangan pertamanya pada 1 Disember tahun lalu melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Kuching, Sarawak.

Dalam kenyataannya mengenai penggantungan operasi yang bermula pada 12 Oktober lalu, syarikat itu berkata, keputusan itu terpaksa dibuat kerana tekanan kewangan yang dihadapinya.

Selain itu, turut menjadi penyumbang menurutnya adalah proses menunggu bagi penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat terbabit.

Menurut kenyataan tersebut, penggantungan yang mula berkuat kuasa pada 12 Oktober lalu itu akan berlanjutan sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Keputusan mengejut itu ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna yang hanya mengetahui mengenainya pada saat-saat akhir sebelum waktu penerbangan.

2331532

Malah, ada antaranya dibiarkan menunggu di lapangan terbang tanpa terlebih dahulu diberikan sebarang makluman daripada petugas syarikat tersebut yang dilaporkan langsung tidak kelihatan di kaunter.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan penggantungan operasi tersebut menjejaskan seramai 125,000 penumpang yang sudah membeli tiket penerbangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM20 juta.

Sementara itu, krisis melanda MYAirline juga dilihat semakin meruncing selepas beberapa individu termasuk pengasas bersama syarikat itu ditahan oleh pihak polis bermula 23 Oktober lalu.

Pada masa sama, seramai 15 individu sebelum itu dilapor memfailkan saman terhadap pengasas bersama MYAirline, ahli perniagaan, Datuk Allan Goh Hwan Hu dan empat syarikat atas dakwaan gagal membuat bayaran balik berhubung pelaburan lebih RM8 juta.

Siasatan mengenai perkara tersebut difahamkan masih sedang berjalan.

Untuk rekod, MYAirline bukan merupakan syarikat penerbangan pertama yang terpalit dengan isu sehingga menjejaskan operasinya.

Berikut Majoriti senaraikan tiga kes yang pernah melibatkan syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia:

1. Malaysia Airline

1139315

MAS melalui beberapa tempoh yang menyaksikannya mengalami masalah kewangan sehingga memerlukan suntikan dana daripada kerajaan. — Gambar hiasan

Sejak memulakan operasinya pada 1972, Malaysia Airlines Berhad (MAS) merupakan syarikat penerbangan yang menjadi kebanggaan dan mencerminkan imej kemajuan negara.

Bagaimanapun, dalam tempoh lebih empat dekad operasinya, MAS dilihat mengalami pelbagai evolusi dalam pengurusannya termasuk melalui langkah penswastaan sekitar 1994.

Pada masa sama, syarikat penerbangan ini juga dilaporkan mula mengalami masalah kewangan bermula ketika tempoh krisis Kewangan Asia 1997 yang menyaksikannya mengalami kerugian sehingga mencecah ratusan juga ringgit.

Meskipun syarikat ini diambil alih semula oleh kerajaan pada 2001, ia terus mencatat prestasi kewangan kurang memberangsangkan untuk tahun tertentu antaranya dengan merekodkan kerugian sebanyak RM1.3 bilion pada 2005.

Pada masa sama, MAS juga pernah mencatat kerugian bersih tertinggi dalam sejarahnya iaitu sebanyak RM2.52 bilion pada 2011.

Situasi itu berpunca antara lain disebabkan kenaikan kos bahan api dan kelemahan tadbir urus.

Siri kerugian yang dicatatkan itu juga pernah menyebabkan kerajaan membuat pertimbangan untuk menurut syarikat penerbangan itu.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2019 yang menimbulkan mengenai kemungkinan tersebut.

Katanya, pertimbangan itu dibuat kerana kerugian dihadapi MAS sejak beberapa tahun lalu sehingga menyumbang kepada penyusutan nilai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang merupakan pemegang saham tunggal syarikat itu.

Bagaimanapun, pilihan tersebut dilihat tidak diambil oleh kerajaan seterusnya apabila satu suntikan dana baharu bernilai RM3.6 bilion diumum disalurkan kepada MAS bagi menampung kos syarikat itu sepanjang tempoh penstrukturan sehingga 2025.

2. AirAsia alami kebocoran data lima juta pengguna, kakitangan

AirAsia aircraft are sit onthe tarmac at KLIA 2 during the movement control order .AZHAR MAHFOF/The Star (25/3/2020)

(AAX) Pada 27 Oktober 2021, AAX jatuh ke status Nota Amalan 17 (PN17) akibat masalah kewangan yang dialaminya. — Gambar hiasan

Pada 22 November tahun lalu, AirAsia Group dilapor menjadi mangsa serangan ransonware sehingga mengakibatkan keobocoran data peribadi kira-kira lima juta penumpang dan kakitangan syarikat tersebut.

Serangan yang dibuat oleh Daixin Team itu difahamkan berlaku pada 11 dan 12 November 2022.

Menurut laporan, satu daripada fail berkenaan mengandungi maklumat mengenai nama penumpang, manakala fail kedua pula mengandungi maklumat pekerja dan pelbagai perincian termasuk nama, tarikh lahir, negara kelahiran, lokasi, tarikh mula bekerja, 'soalan rahsia dan jawapan'.

Susulan daripada itu, Pasukan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) melakukan pemeriksaan di AirAsia Aviation Group Ltd pada 15 Disember lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya mengambil serius dakwaan berlaku ketirisan data peribadi akibat kes penggodaman pihak luar.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencerobohan dan kesan kejadian itu.

Untuk rekod, AirAsia Group bukan satu-satunya syarikat penerbangan Malaysia yang berdepan insiden terbabit.

Malaysia Airlines pernah mendedahkan insiden keselamatan data pada 2020 dan 2021.

Dalam perkembangan lain, AirAsia X Bhd (AAX) sebelum itu pada 27 Oktober 2021 jatuh ke status Nota Amalan 17 (PN17), akibat masalah kewangan yang dialaminya.

Situasi itu berpunca daripada kerugian terkumpul akibat pandemik.

Media pada 20 Oktober lalu melaporkan bahawa permohonan AAX untuk melepaskan syarikat itu daripada status PN17 ditolak oleh Bursa Securities.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu diberikan lanjuta masa sehingga 17 Januari 2024 untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada pihak berkuasa kawal selia.

3. Menteri beri tempoh 24 jam jawab isu kelewatan luar jangka

227368

Isu kelewatan membabitkan penumpang AirAsia dilapor menjadi lebih kerap bermula 1 April 2022 dan berlanjutan selama lebih sebulan. — Gambar hiasan

Pada 10 Mei 2022, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi tempoh 24 jam kepada Air Asia bagi memberi maklum balas lengkap berhubung isu kelewatan penerbangan.

Katanya, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menerima peningkatan aduan daripada pengguna yang berlarutan lebih sebulan sejak April 2022.

Turut dibangkitkan pengguna menurut Alexander adalah mengenai kelayakan pengguna mendapatkan pampasan sekiranya mengalami kelewatan penerbangan sebegini.

Sebelum itu, Air Asia Malaysia menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat tampil memberikan respons segera berhubung isu tersebut yang mengakibatkan berlakunya penjadualan semula sehingga terjadi kelewatan luar jangka.

Katanya, selain peningkatan mendadak terhadap perkhidmatan sejak 1 April lalu, syarikatnya turut beroperasi dengan jumlah pesawat yang terhad iaitu sebanyak 40 pesawat berbanding hampir 100 semasa pra-pandemik.

Disebabkan itu, Air Asia dalam reaksinya selepas mengadakan pertemuan bersama Alexander mengumumkan akan memanbah jumlah pesawat secara berperingkat menjelang Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram