Cadangan bina 'airport' baharu perlu kelulusan MPFN


  • Primer
  • Ahad, 29 Okt 2023

Cadangan untuk menaik taraf terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak berada dalam radar kementerian untuk direalisasikan menggunakan kaedah PPP.

CADANGAN pembinaan lapangan terbang baharu perlu dibawa ke perbincangan dan mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) terlebih dahulu sebelum sebarang proses merealisasikannya dimulakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum ini kerajaan Perak memang ada cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di Seri Iskandar tetapi ia belum dapat dilaksanakan.

"Pembinaan lapangan terbang baharu perlu proses yang sangat panjang, pertama mesti pergi ke Majlis Perancang Fizikal Negara, kalau tak dapat kelulusan, tak boleh mulakan proses itu,” katanya pada sidang media Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-22 di Ipoh, Perak pada Ahad yang turut dihadiri Pengerusi DAP, negeri Nga Kor Ming.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.

Anthony berkata, ketika ini lapangan terbang sedia ada di negara ini perlu ditambah baik dan cadangan untuk menaik taraf terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh juga berada dalam radar kementerian untuk direalisasikan menggunakan kaedah perkongsian awam swasta (PPP).

Menurutnya, dengan keadaan kekangan kewangan di peringkat Persekutuan, PPP merupakan kaedah baharu yang boleh dilaksanakan untuk proses naik taraf tersebut.

"Jadi (lapangan terbang) di Ipoh adalah satu daripada yang saya telah dapat cadangan dan surat yang menyatakan mereka (pihak swasta) berminat melabur ke dalamnya,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Anthony memaklumkan, beliau telah menemui pihak syarikat penerbangan dari Singapura supaya menambah kekerapan penerbangan ke Ipoh pada musim perayaan berikutan pemeriksaan beliau mendapati tiket penerbangan ke destinasi itu amat laris terutamanya pada hujung minggu.

"Ramai orang Ipoh antaranya dari Simpang Pulai dan Bercham bekerja di Singapura dan pada musim perayaan selalunya penerbangan tidak mencukupi," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram