Belanjawan 2024 : Selain diskaun bayaran balik PTPTN, 4 lagi habuan Kerajaan Perpaduan buat belia


  • Massa
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Golongan belia turut tidak terkecuali menikmati habuan daripada kerajaan menerusi Belanjawan 2024. — Gambar Hiasan

SELESAI sudah satu tanggungjawab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan Belanjawan 2024 yang berlangsung di Parlimen pada Jumaat.

Pastinya, pelbagai reaksi yang diberikan oleh rakyat sepanjang lebih dua jam Menteri Kewangan itu berucap di hadapan jemaah menteri.

Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion dengan RM303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Setiap lapisan masyarakat secara keseluruhannya pasti mengharapkan peruntukan yang sewajarnya untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan pembangunan ekonomi.

Berdasarkan input yang diberikan menerusi pembentangan kali ini, peruntukan dalam belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilihat mencakupi pelbagai peringkat dan sektor.

Selain penjawat awam dan pekerja swasta, golongan belia turut tidak terkecuali menikmati habuan daripada kerajaan menerusi Belanjawan 2024.

Berikut Majoriti senaraikan lima manfaat yang boleh dinikmati golongan belia menerusi Belanjawan 2024:

1) Kadar minimum STR meningkat kepada RM500

Kadar minimum STR meningkat kepada RM500

Bayaran pertama STR sehingga RM500 akan dibuat pada Februari 2024. — Gambar hiasan

Kadar minimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi golongan belia meningkat daripada RM350 kepada RM500.

STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November ini dan permohonan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

Ini dilihat dapat sedikit sebanyak membantu golongan belia yang tidak terkecuali menerima impak akibat ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan harga barang pada ketika ini.

Menurut Anwar, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada Februari 2024.

2) Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

Diskaun bayaran balik pinjaman ptptn

Diskaun 10 peratus akan diberikan ke atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024.

Diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan ke atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Kerajaan juga memberikan 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Selain itu, diskaun 15 peratus diberikan untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Golongan belia terutamanya para graduan pastinya melihat pengumuman itu sebagai satu peluang yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Apatah lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN menerusi Belanjawan 2024.

3) Kerajaan tanggung bayaran ujian memandu

Kerajaan tanggung bayaran ujian memandu

Kerajaan bersetuju terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk belia.

Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan, manfaat itu diperoleh menerusi hasil daripada pendapatan yang diraih menerusi penjualan nombor plat yang dimanfaatkan untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Sebanyak 100,000 topi keledar termasuk untuk kanak-kanak juga dibekalkan untuk diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.

Selain itu, Kerajaan Perpaduan turut memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman.

Ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan pada tahun hadapan untuk dimanfaatkan hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

4) Ganjaran RM500 untuk aktiviti kesukarelawanan

SUKARELAWAN

Kerajaan akan menerapkan konsep 'pay it forward' untuk membudayakan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia. — Bernama

Ganjaran sebanyak RM500 akan diberikan kepada golongan belia yang berjaya melakukan aktiviti kesukarelawanan dengan badan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Menurut Anwar, kerajaan akan menerapkan konsep 'pay it forward' untuk membudayakan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia berusia 18 hingga 20 tahun.

Manakala RM20 juta pula akan disediakan untuk Rakan Muda memperbanyak pengisian program belia.

Kata Perdana Menteri, program Rakan Muda telah diberi nafas baharu dalam usaha membentuk jati diri dan keperibadian anak muda Malaysia.

Kerajaan bersetuju meneruskan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Selain itu, Skim TEKUN Belia Mobileprenuer juga diteruskan dengan peruntukan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Untuk makluman, program TUBE telah berjaya melatih 7,238 usahawan belia di seluruh negara sejak dilaksanakan pada tahun 2014 oleh SME Corporation Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

5) Dasar Peluang Kedua

HUTANG

Setakat Julai 2023, hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan.

Kerajaan bersetuju memperluas Dasar Peluang Kedua kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 pada tahun hadapan.

Anwar memaklumkan, setakat Julai 2023, hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan.

Ujarnya, hasil pelaksanaan Dasar Peluang Kedua, Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 juga telah melepaskan secara automatik daripada pengisytiharan muflis bagi kes-kes semasa dan terkebelakang yang memenuhi syarat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap bagi tempoh setahun berikutan penguatkuasaan akta itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram