[VIDEO] Kereta berhenti mengejut elak lokasi kemalangan punca konvoi motosikal berlanggar sesama sendiri di JB, 2 parah


  • 112
  • Selasa, 13 Feb 2024

Tangkap layar video tular memaparkan kemalangan di Kilometer 5.4, Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

TINDAKAN sebuah kereta berhenti secara mengejut di lorong kanan jalan kerana mahu mengelak sebuah kereta lain menjadi punca kepada kemalangan membabitkan sebuah konvoi motosikal di Kilometer 5.4, Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan dua kereta dan lima motosikal itu pada pukul 9.15 malam.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Mazda di lorong kanan mengubah haluan ke sebelah kiri kerana cuba mengelak daripada sebuah motosikal yang telah terbabas dan tidak dialihkan di lorong kanan.

"Kemudian sebuah kereta jenis Kia yang berada di belakang kenderaan itu cuba mengelak dan berhenti secara mengejut di bahu kanan jalan menyebabkan motosikal yang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta itu.

"Ia kemudian disusuli dengan perlanggaran empat buah motosikal sesama sendiri yang juga datang dari arah belakang," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mohon doakan anak saudara saya', remaja perempuan antara cedera parah berlanggar sesama sendiri konvoi di Puteri Harbour

WhatsApp Image 2024-02-13 at 8.45.59 AM

Keadaan motosikal yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 5.4, Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

BACA LAGI: Lelaki parah terduduk depan treler, tangan putus lepas kemalangan di Ulu Tiram

Susulan kejadian itu, Rahmat berkata, dua mangsa parah dan sedang mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

Katanya, empat penunggang motosikal lain mengalami cedera ringan, sementara, kedua-dua pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Farahan Roslen di talian 017-6304943 atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322," katanya.

Video mengenai kejadian kemalangan tersebut tular di media sosial sejak Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram