Selain tambah baik fasiliti kuarters, ada 4 lagi isu kebajikan polis tunggu diselesaikan


  • Massa
  • Isnin, 12 Feb 2024

Isu kebajikan anggota polis di Malaysia antara perkara penting yang tidak boleh diabaikan oleh kerajaan. — The Star

ISU kebajikan melibatkan anggota polis di Malaysia kini timbul kembali selepas tularnya sebuah video memaparkan keadaan kuarters kediaman anggota berpangkat rendah yang mengalami banyak kerosakan baru-baru ini.

Lebih parah lagi apabila berlakunya kebocoran dalam kawasan dalam rumah tersebut sehingga menyebabkan lantai dibanjiri air.

Namun, isu itu sebenarnya bukanlah kali pertama berlaku dan ia pernah disuarakan ramai pihak terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BACA LAGI : Kuarters bocor sana-sini, isu kediaman polis pangkat rendah perlu diselesaikan segera

msg1050426791-24809

Keadaan kuarters yang bocor dan dibanjiri air tular sejak Ahad.

Pada 2019, masalah sama dilaporkan berlaku di sebuah kuarters kediaman polis di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak.

Pada waktu itu, keadaan struktur rumah terbabit dilaporkan reput dan bocor di beberapa sudut sehingga ada penghuni yang terpaksa menggunakan payung di dalam tandas.

BACA LAGI : Penggunaan kamera badan mampu pulih kepercayaan rakyat terhadap polis

Berdasarkan laporan yang dibuat media tempatan, walaupun terdapat proses membaik pulih kuarters yang dibina sejak 1967 itu, tetapi kerosakan sama kerap juga berlaku.

Susulan itu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dilaporkan pernah membuat rayuan kepada kerajaan agar memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah kediaman polis daif.

Pada Julai 2023, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan berkata, sebanyak RM100 juta akan diperuntukkan bagi membaik pulih dan menyelenggara kuarters serta fasiliti PDRM di seluruh negara.

Peruntukan tambahan itu dikatakan merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi keutamaan kepada bangunan yang daif.

Namun, selain isu penyelenggaraan fasiliti kuarters, terdapat empat lagi isu kebajikan lain melibatkan anggota polis yang pernah dibangkitkan.

1. Gaji dan elaun

msg1050426791-24829

Para pejuang negara yang layak menerima kenaikan gaji minimum. — The Star

Seluruh kakitangan awam di Malaysia mempunyai hak mendapatkan gaji setaraf termasuk para anggota keselamatan mengikut pangkat dan jawatan yang disandang.

Isu gaji dan penerimaan elaun tambahan dalam kalangan polis terutamanya sememangnya bukan baharu.

Pada Oktober 2023, Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD), Sub Inspektor Abd Rashid Ali pernah menyuarakan tentang perkara tersebut.

Beliau yang bertindak sebagai wakil menyeru pihak kerajaan agar menaikkan jumlah gaji minimum kepada pegawai rendah polis sesuai dengan ekonomi semasa.

Katanya, ia ekoran gaji permulaan Konstabel (YA1), PDRM bermula daripada RM1,441 dan pemberian elaun antara RM600 hingga RM700 yang bersifat tidak tetap serta mengikut lokasi tugasan.

Beliau turut menyuarakan bahawa gaji minimum pegawai rendah polis ketika ini sangat tidak setimpal dengan keperluan ekonomi sekarang.

Kenaikan gaji sebanyak RM1,800 termasuk dalam cadangan yang disuarakan beliau susulan isu berbangkit itu.

Setelah isu tersebut hangat disuarakan, kerajaan dilihat cakna dan cuba melakukan inisiatif baharu bagi menanggani masalah berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejurus itu mengumumkan bahawa akan mencari jalan keluar dan berikhtiar dalam menyelesaikan isu gaji rendah terutamanya membabitkan anggota baharu dalam PDRM.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengakui isu berbangkit itu ada dibincangkan secara senyap di peringkat kementerian.

Anwar Ibrahim pernah memaklumkan bahawa kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam termasuk anggota polis.

Namun, sehingga kini masih belum ada kenyataan dikeluarkan kerajaan berhubung kenaikan gaji khusus buat anggota polis.

2. Kekurangan kuarters

msg1050426791-24834

Kekurangan kuarters polis pernah menjadi isu suatu ketika dahulu. — The Star

Selain isu penyelenggaraan kuarters kediaman, jumlah penempatannya menjadi antara masalah serius dalam kalangan anggota polis.

Tanpa sedar, sebenarnya para pejuang negara ini pernah berdepan dengan kekurangan kuarters.

Pada November 2021, PDRM sendiri telah mengemukakan cadangan penyewaan rumah swasta bagi mengatasi masalah kekurangan perumahan pegawai dan anggota di bandar besar terutamanya di kawasan Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika itu dilaporkan berkata, cadangan tersebut disuarakan kepada KDN susulan kuarters yang tidak mencukupi.

Katanya, ia antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan kerana lebih efektif tanpa mengeluarkan kos, masa dan tenaga yang banyak berbanding membina kuarters baharu.

Namun, beliau tidak menafikan usaha kerajaan membaik pulih kuarters polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Maran, melalui peruntukan sebanyak RM1.8 juta pada waktu itu.

Pada tahun sama, kerajaan nampaknya sekali lagi mengambil maklum dengan mempertimbangkan untuk menambah skim perumahan kepada anggota polis selaras komitmen kementerian demi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Bagaimanapun, skim tersebut dikatakan membabitkan perancangan sama ada untuk membaik pulih dan menaik taraf kuarters polis atau membina kuarters baharu.

3. Alat keselamatan

msg1050426791-24827

Sistem keselamatan yang ditambah baik untuk anggota polis. — The Star

Bertugas sebagai pegawai atau anggota keselamatan pastinya bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan dengan pelbagai ancaman serta risiko berbahaya.

Sering kali kita dengar kes-kes kematian melibatkan anggota polis ketika sedang menjalankan tugas seperti dilanggar pemandu kenderaan dan ditembak penjenayah.

Kekurangan alat keselamatan berteknologi tinggi juga menjadi punca kepada risiko yang dihadapi polis di Malaysia ini.

Antara kejadian yang memilukan adalah melibatkan seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang maut selepas dilanggar pemandu mabuk ketika bertugas di sekatan jalan raya pada 2020.

Walaupun kemalangan itu berpunca daripada sikap pemandu tersebut, ia juga menjadi iktibar kepada semua pihak untuk melaksanakan penambah baikan dalam sistem pekerjaan polis.

Isu itu bagaimanapun dilihat ditanggani dengan baik oleh pihak kerajaan kerana pada 2020, anggota peronda polis (MPV) dilaporkan diberi kelengkapan jaket keselamatan pantulan cahaya dengan ciri-ciri keselamatan baharu yang lebih terjamin.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim pada waktu itu mengumumkan, pihaknya menerima sebanyak 800 unit 'reflective bullet proof vest level II with anti stab'.

Jaket tersebut berfungsi memberi perlindungan balistik terhadap tembakan daripada peluru kaliber 9mm, tikaman serta dilengkapi pantulan cahaya terutamanya ketika anggota bertugas pada waktu malam.

Alat keselamatan itu juga diagihkan kepada semua kontinjen seluruh negara dan yang lebih berkeperluan seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Terbaharu, polis juga dilaporkan akan mula menggunakan kamera badan (BWC) secara berperingkat mulai September 2024 hingga Februari 2025 sebagai satu usaha penggunaan tekonologi moden dalam sistem keselamatan PDRM.

4. Kesihatan mental

msg1050426791-24835

Walaupun polis sinonim dengan ketegasan dan kecergasan, isu kesihatan mental harus ditanggani bagi meningkatkan kualiti kerja. — The Star

Selain kebajikan secara fizikal, kesihatan mental juga pernah menjadi isu dalam kalangan anggota polis.

Ia mula membuka mata masyarakat selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyuarakan tentang masalah tersebut.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan susulan kejadian seorang anggota polis berpangkat koperal dipercayai menembak mati anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak diri sendiri di Seremban pada 2021.

Kejadian itu dikatakan berlaku berpunca daripada gangguan psikologi yang serius terutamanya ketika bertugas.

Disebabkan itu, beliau memberi cadangan supaya anggota polis dikesan mempunyai masalah harus diberikan khidmat kaunseling atau bantuan awal bagi mencegah kejadian tidak diingini berlaku.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid mendedahkan, ia bukan kes pertama dan berlakunya kejadian sama di dalam kuarters polis di Perak.

Ia juga diakui oleh pihak kerajaan yang mana KDN mendapati bahawa kebanyakan petugas mengalami tekanan serta cenderung membunuh diri akibat persekitaran tempat kerja serta status kesihatan.

Justeru, ramai yang menggesa agar isu tersebut boleh ditanggani dengan cara seperti mementingkan saringan tekanan di tempat kerja secara berkala.

Ia bertujuan untuk mengenal pasti gejala berpotensi menjadi masalah kesihatan mental supaya sokongan dan intervensi dapat diberikan tepat pada waktunya.

Bukan itu sahaja, intervensi juga pernah dikatakan harus diberikan kepada ahli keluarga anggota terlibat sebagai rujukan perkhidmatan psikologi dan sesi kaunseling.

Bagaimanapun, pada 2023, isu kesihatan mental melibatkan anggota polis dilihat berjaya diangkat oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan dibincangkan di Dewan Rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram