[VIDEO] Kuarters bocor sana-sini, isu kediaman polis pangkat rendah perlu diselesaikan segera


  • Tular
  • Ahad, 11 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan dalam rumah polis yang bocor dan dipenuhi air.

SEBUAH kuarters kediaman dipercayai milik anggota polis berpangkat rendah mengalami kerosakan teruk apabila berlaku kebocoran sehingga menjejaskan keselesaan penghuninya.

Menerusi video dikongsikan di Twitter (X) @mynewshub, terdapat titisan air yang mengalir daripada kawasan tangga kawasan kuarters itu.

Bukan itu sahaja, lantai kuarters itu dibanjiri dengan air yang mengalir daripada tingkat atas.

BACA LAGI: Risau kesihatan anak kembar tinggal di kuartes penuh najis burung, Cikgu Teh gesa KPM ambil tindakan segera

Melalui video itu, keadaan fasiliti kediaman tersebut juga dilihat seperti tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan kebocoran.

Dalam video sama, keadaan dinding rumah dilihat dalam keadaan kotor dan mempunyai kesan bocor yang banyak.

BACA LAGI: Kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai dikosongkan ekoran tanah mendap — Polis

Susulan itu, pengendali akaun itu menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memperbaiki masalah tersebut.

"Mohon kerajaan ambil tahu dan perbaiki keadaan untuk mereka," tulis pengguna berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi kediaman polis itu masih belum dipastikan dan tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung dakwaan itu.

Isu kebajikan polis pangkat rendah sebelum ini pernah disuarakan sama ada daripada ahli politik mahu pun pihak persatuan.

msg1050426791-24807

Isu kebajikan fasiliti kuarters polis yang sudah lama dibangkitkan. — Gambar hiasan

Laporan media pada Oktober tahun lalu ada menyebut tentang keprihatinan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer tentang kuarters polis yang hanya memiliki satu bilik saja.

Beliau membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat dan meminta kerajaan untuk memberi perhatian tentang kebajikan anggota polis terutamanya yang berpangkat rendah.

Pada 2019, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) juga pernah merayu kerajaan memberi perhatian terhadap kebajikan anggota polis berpangkat rendah bagi memastikan kualiti kerja mereka berada pada tahap maksimum.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Tyhe, berkata kebajikan anggota polis terbabit dilihat masih rendah terutama membabitkan keadaan kediaman seperti berek polis yang sangat daif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram