MASALAH gangguan bekalan air dialami penduduk di Kedah dilihat semakin meruncing selepas kawasan tadahan Gunung Jerai dekat Yan, Kedah yang membekalkan sumber air mentah kepada tiga buah loji rawatan air (LRA) di daerah Kuala Muda, mengalami penyusutan air tadahan.
Difahamkan, penyusutan air tersebut berpunca daripada cuaca panas berpanjangan pada ketika ini.
Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat memaklumkan tiga LRA terbabit ialah LRA Tupah, LRA Merbok dan LRA Gurun yang merupakan LRA dari jenis Headworks.
Susulan daripada masalah tersebut, SADA akan menggerakkan lori tangki ke rumah-rumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air secara berjadual, serta menempatkan tangki-tangki statik di kawasan strategik.
Syarikat itu menasihatkan para pengguna agar terus berhemah menggunakan air bagi memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan.
BACA LAGI: Aplikasi Waze mampu elak tragedi tertinggal anak dalam kereta
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal berbasikal, budak lelaki maut digilis lori di Telok Gong
Melalui tinjauan Majoriti dalam ruangan komen Facebook SADA, segelintir daripada rakyat Negeri Jelapang Padi itu meluahkan rasa kecewa kerana masalah gangguan air itu sudah berlarutan sekian lama tanpa mengira musim.
Seorang pengguna media sosial, Fatimah Ahmad mendakw,a amalan tadbir tadbir SADA tidak efisien dan kurang memuaskan dalam menyelesaikan isu tersebut.
Manakan tidak, Fatimah mendakwa dia tidak pernah menerima sebarang notis tiada bekalan air daripada syarikat tersebut sejak daripada bulan lalu berhubung isu berkenaan.
"SADA macam mana nak guna air secara berhemah? Pada Januari lalu, hanya tiga hari saja ada bekalan air.
"Hari ini (Jumaat), hari kedua bulan Februari tiada bekalan air tanpa notis.
"Tanpa notis dari pihak SADA, anda faham atau tidak?," luahnya.
Wanita itu turut menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara memantau gerak kerja SADA pada setiap bulan.
"Setiap bulan tak habis-habis dengan masalah. Sudah tahu masuk musim kemarau mesti sudah ada tindakan jangka pendek dan panjang.
"SADA tak pernah belajar dari kesilapan walaupun kemarau setiap tahun," katanya.
Pada masa sama, dia juga turut menggesa Pengerusi SADA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk turun padang menyelesaikan masalah air itu.
"Pengerusi SADA mana? Turun setiap daerah tengok masalah pengguna yang kena hadap masalah air setiap bulan dan bukan tunggu laporan daripada staf SADA sahaja.
"Masuk musim hujan nanti bagi alasan lagi. Begitu la skrip SADA setiap tahun,"ujarnya.
Pride Nour pula meninggalkan komen sinis terhadap hantaran Facebook berkenaan.
"Mahunya tak kering. Orang repot paip bocor tak datang baiki berbulan-bulan," dakwanya.
Mohd Azwanfadzli Deris juga meluahkan rasa kecewa dengan cara kerja SADA.
Dakwanya, SADA tidak membaiki paip yang bocor walaupun selepas membuat aduan berkali-kali.
"Penat buat aduan. Menangis tengok air dari paip bocor terbazir begitu sahaja," katanya.
Pada ketika ini, menurut SADA, LRA jenis Headworks beroperasi secara separa rawatan dan bergantung sepenuhnya kepada kualiti dan kuantiti air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram