Ramalan arwah Azraai Kor ternyata tepat, Darren Lok kini boleh berbangga


  • Podium
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Azraai dilihat mempunyai pandangan yang tersendiri di sebalik kritikan awal ramai pihak terhadap pretasi Darren (kanan) ketika awal penampilannya bersama skuad Harimau Malaya pada 2016.

DUNIA bola sepak tanah air pada Khamis kehilangan satu permata yang tiada galang ganti susulan pemergian jurulatih legenda, Azraai Kor Abdullah.

Allahyarham yang berusia 71 tahun meninggal kira-kira sehari selepas beliau mengalami serangan strok.

Disifatkan sebagai jurulatih terbaik pernah dilahirkan di dalam negara, Azraai mempunyai perjalanan karier yang cukup gemilang.

Antara yang cukup diingati pastinya kejayaan beliau membawa Kedah FA mengecapi gelaran 'double treble' pada musim 2007 hingga 2008.

Pemergian Allahyarham pada Khamis juga menyaksikan ramai dalam kalangan figura tanah air mengambil kesempatan berkongsikan mengenai kehebatan arwah sebagai seorang jurulatih cukup disegani.

Wartawan sukan negara, Keeshaanan Sundaresan berkata, sebagai jurulatih, Azraai sememangnya cukup tajam dalam penilaian terhadap seseorang pemain.

Ujarnya, perkara itu disedarinya melalui perbualan peribadi di media sosial bersama arwah ketika berlangsungnya kejohanan Piala AFF Suzuki pada 2016.

2535628

Allahyarham Azraai juga dinobatkan sebagai jurulatih terbaik liga pada 2007 dan 2008. — Agensi

BACA LAGI: Azraai Khor, Baddrol kembali bergabung demi Kedah

Pada waktu itu, Keeshanan berkata, ramai pihak tampil mengkritik prestasi penyerang negara, Darren Lok yang ketika itu baru membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya.

"Di saat ramai yang mengkritik hebat kemasukan Darren Lok ke dalam skuad kebangsaan (termasuk mendiang Shebby Singh), Coach Azraai DM (berikan mesej) benda ni kat aku," ujarnya yang berkongsikan tangkap layar hantaran mesej arwah di ciapan laman X pada Khamis.

Menerusi mesej berkenaan, Azraai berkata, di sebalik kritikan yang diterima penyerang tersebut, beliau percaya bahawa Darren memiliki potensi menjadi penyerang yang baik buat skuad negara.

"Darren memberi saya gambaran yang baik tentang seorang penyerang yang bekerja keras. Sikap yang cukup baik ketika permainan.

"Di bawah bimbingan yang betul, pemain ini boleh menjadi penyerang yang baik untuk pasukan kebangsaan," tulis Azraai menerusi pesanan berkenaan.

Perjalanan karier Darren sebagai pemain profesional tidak bermula dengan rentak yang positif selepas dia mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air.

BACA LAGI: Bekas pengendali import Perak beri 'tribute', sanjung karier Allahyarham Azraai Khor

Meskipun sudah membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya seawal 2016, namun dia gagal memberikan impak yang cukup baik di pentas Liga Malaysia.

Situasi itu menyebabkan Darren turut terpaksa beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) II pada 2017.

Dia bagaimanapun kemudiannya menunjukkan peningkatan prestasi secara konsisten sebelum mula mendapat perhatian beberapa pasukan utama lain di dalam negara.

Pada masa sama, Darren, 33 yang ketika ini beraksi bersama Sabah FC turut menjadi tonggak utama yang membantu membawa Malaysia layak secara merit ke cabaran Piala Asia AFC 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram