PADA Sabtu lalu, seorang tahanan di Lokap Berpusat Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah dilapor meloloskan diri dalam kejadian berlaku sekitar waktu tengah hari.
Tahanan, Nazri Hassan, 33, dipercayai melarikan diri ketika sedang diiringi anggota petugas lokap ke bilik siasatan bagi tujuan soal siasat.
Insiden tersebut turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di pusat berkenaan dengan videonya didapati tular di media sosial sejak Ahad.
Suspek, Nazri Hassan.
Berdasarkan klip tersebut, tahanan itu pada awalnya dilihat jalan bersama dua lagi tahanan lain sambil diiringi oleh seorang petugas lokap.
Ketika tiba di hadapan satu pintu jeriji, petugas berkenaan dilihat terlebih dahulu masuk ke ruangan tersebut dan meninggalkan sementara ketiga-tiga tahanan di bahagian luar..
Namun, tidak lama kemudian, suspek yang berada di kedudukan paling kanan dan memakai baju ungu dilihat secara pantas memanjat menggunakan pintu jeriji itu untuk ke bahagian atas.
Ketika petugas menyedari mengenai insiden tersebut, tahanan terbabit dilihat sudah memanjat lepas ke bahagian atas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais dilaporkan berkata, suspek yang melarikan diri itu dipercayai memanjat pintu jeriji lokap mengikut tingkap di ruang senaman.
Kemudiannya, tahanan berkenaan difahamkan keluar dari bangunan lokap dan memanjat pagar luar lokap sebelum melarikan diri.
Menurut Shahurinain, usaha petugas lokap mengejar untuk mengejar gagal dengan suspek berlari laju ke kawasan belukar berhampiran.
Susulan daripada kejadian itu, beliau berkata, gerakan mengesan tahanan sedang dilaksanakan menerusi Op Tutup.
Difahamkan, suspek sebelum ini direman bermula 10 hingga 18 Disember ini atas kesalahan mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, perkembangan terkini kes tersebut menyaksikan Nazri berjaya diberkas semula pada sekitar pukul 12.30 tengah hari Isnin.
Menurut laporan daripada laman berita di Facebook, Info X, penangkapan itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis di kawasan hutan Tuaran, Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram