Isu menteri 'cucuk rapat' ambulans sebab tak sempat hadir program kebajikan, polis Perak ambil keterangan driver


  • 112
  • Khamis, 08 Feb 2024

Kenderaan menteri yang tular selepas mengikut rapat dengan sebuah ambulans di Lebuh Raya PLUS pada Sabtu lepas. — Twitter

POLIS mengesahkan sudah mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan rasmi milik menteri yang mengekori rapat di belakang sebuah ambulans ketika kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, Ipoh, Perak pada Sabtu lepas (3 Februari).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemandu berkenaan sudah dipanggil pada Khamis susulan kejadian tersebut.

Yusri berkata, siasatan awal mengesahkan kenderaan tular itu dipandu oleh seorang lelaki yang bekerja sebagi pemandu kepada menteri tersebut.

BACA LAGI: Suspek halang ambulans sudah dicekup, mengaku ada masalah pendengaran

msg1050426791-24465

Tindakan kenderaan menteri tersebut yang mendapat kecaman ramai. — Twitter

BACA LAGI: Wanita tular pandu kereta halang ambulans di MRR2 ada masalah mental

Katanya, pemandu bersama menteri ketika kejadian dalam perjalanan ke sebuah program kebajikan yang sepatutnya berlangsung di Rumah Pangsa Jalan Silang, Perak.

"Bagaimanapun, menteri berkenaan tidak sempat menghadiri program terbabit disebabkan kesesakan lalu lintas.

"Selain mengambil keterangan, beberapa saksi awam lain juga dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Yusri berkata, pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) PLUS Malaysia Berhad serta kamera papan pemuka (dashcam) ambulans terbabit.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas siasatan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu memandangkan kes masih disiasat.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram