[VIDEO] Suspek halang ambulans sudah dicekup, mengaku ada masalah pendengaran


  • 112
  • Ahad, 07 Jan 2024

Pemandu Perodua Kembara itu telah diambil tindakan di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 166/59 iaitu kesalahan tidak beri laluan kepada ambulans. — PDRM

PEMANDU Perodua Kembara yang rakamannya tular di media sosial kerana enggan memberi laluan kepada kenderaan ambulans di Sri Aman, Sarawak, telah ditahan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, lelaki itu telah diambil tindakan di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 166/59 iaitu kesalahan tidak beri laluan kepada ambulans.

"Semalam (Jumaat), lebih kurang pukul 3.00 petang telah tular sebuah video di media sosial mengenai sebuah kereta yang tidak beri laluan kepada ambulans yang dalam kecemasan membawa pesakit ke Hospital Sri Aman.

"Kejadian berlaku di Kilometer (KM) 6, Jalan Sri Aman-Kuching.

"(Sehubungan itu) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Sri Aman telah mengambil tindakan mengesan kenderaan tersebut dan pemandu terbabit telah diambil tindakan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI : [VIDEO] Luluh hati isteri, suami meninggal dunia gara-gara pemandu bongkak halang laluan ambulans

Semua pengguna jalan raya juga diingatkan supaya sentiasa memberi laluan kepada ambulans termasuk kenderaan polis dan bomba.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang pesakit meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital gara-gara sikap pentingkan diri seorang pemandu yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans.

Isteri kepada mangsa, Annie Andrew turut meluahkan perasaan sedih dan kecewa dengan sikap pemandu Perodua Kembara yang menghalang laluan ambulans tersebut sehingga menyebabkan suaminya, Morgan Alban gagal mendapat rawatan awal dan meninggal dunia.

e2ec054e-9915-44c1-b732-b5c28e27e42c

Tangkap layar tular di Facebook berkenaan pemandu Perodua Kembara.

Sementara itu, pada Ahad tular satu tangkap layar di Facebook dipercayai milik keluarga pesakit memberitahu anak pemandu tersebut sudah berjumpa dengan mereka.

"Kes selesai, anak pemandu Perodua Kembara sudah datang berjumpa dengan kami.

"Pak cik ini ada masalah pendengaran dan bukan sengaja menghalang laluan ambulans.

"Anaknya turut menunjukkan bukti surat daripada pihak hospital tentang sakit yang dihidapi ayahnya," tulis tangkap layar berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya masih mahu tindakan berat diambil terhadap pemandu tersebut.

Juliana berpendapat warga emas tersebut tidak boleh lagi dibenarkan memandu di atas jalan raya.

"Tolong gantung lesen memandu dia seumur hidup dan pekak bukan alasan.

"Dia masih ada mata untuk melihat. Disebabkan sikap pentingkan diri sendiri, nyawa orang lain melayang," tulisnya.

Angella Miet Angie turut mempunyai pendapat yang sama.

"Walaupun dia ada masalah pendengaran tetapi matanya masih lagi berfungsi.

"Bila sudah jadi seperti ini, mulalah tunjuk 'surat sakit'," tulisnya.

Seorang lagi warga maya, Richard Alex turut berharap agar pemandu tersebut dikenakan tindakan tegas.

"Pekak atau tidak, hukuman tegas harus dikenakan.

"Jangan kerana dia warga emas dan ada masalah pendengaran terus nak terlepas hukuman," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram