Budak perempuan 5 tahun maut, 4 jam tertinggal dalam kereta di parkir Hospital Shah Alam


  • 112
  • Khamis, 01 Feb 2024

Kanak-kanak malang itu meninggal dunia di dalam kereta ibunya selepas ditinggalkan selama empat jam di sebuah kawasan parkir di Hospital Shah Alam pada Selasa.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya selepas ditinggalkan selama empat jam di sebuah kawasan parkir di Hospital Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada seorang pegawai perubatan hospital terbabit pada pukul 8.01 malam Selasa.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah TASKA berdekatan tempat kejadian sekitar pukul 2 petang.

BACA LAGI : [VIDEO] Ajal berbasikal, budak lelaki maut digilis lori di Telok Gong

"Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan.

"Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada pukul 6 petang.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI : [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah

Beliau berkata, bedah siasat sudah dijalankan pada pukul 2 petang Rabu dengan keputusan 'pending laboratory investigations'.

"Hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu," katanya.

Jelas Mohd Iqbal lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram