Operator taska wajib hubungi penjaga jika anak tak hadir — Nancy


  • Primer
  • Isnin, 13 Nov 2023

Nancy berkata, SOP sedia ada perlu dikemas kini susulan beberapa kes melibatkan penjaga terlupa menurunkan anak mereka di premis taska dan meninggalkan mereka di dalam kereta. — Bernama

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewajibkan operator Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) menghubungi ibu bapa sekiranya anak mereka tidak hadir bagi mengelakkan kes kematian kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkenaan perlu dikemas kini susulan beberapa kes sejak kebelakangan ini selepas penjaga terlupa menurunkan anak mereka di premis taska dan meninggalkan mereka di dalam kereta.

"Sekiranya ibu bapa tidak dapat dihubungi, perlu juga ada nombor telefon kecemasan bagi membolehkan taska menghubungi seperti ahli keluarga terdekat.

"Namun ada yang saya tak boleh lakukan sebab ia di bawah kementerian berbeza... contohnya orang kata melarang penggunaan cermin kereta gelap. Ia bukan di bawah bidang kuasa saya, jadi saya hanya boleh lakukan sesuatu yang di bawah bidang kuasa saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Media Sarawak di Kuching, Sarawak pada Ahad.

Dalam tempoh tidak sampai dua bulan sejak Oktober lalu, beliau berkata, sejumlah tiga kes kanak-kanak maut berikutan tertinggal di dalam kereta telah dilaporkan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram