Dakwaan Taib Mahmud dibawa keluar hospital tengah malam, polis Sarawak sahkan kes disiasat Seksyen 336 KK


  • 112
  • Isnin, 05 Feb 2024

Tular di media sosial mendakwa Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari hospital tanpa persetujuan doktor oleh keluarga terdekat baru-baru ini.

POLIS kini sedang menjalankan siasatan berhubung isu tular melibatkan bekas Yang di-Pertua Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang didakwa dibawa keluar dari sebuah hospital tanpa persetujuan doktor pada tengah malam oleh ahli keluarga terdekat baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kes disiasat bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain, yang mana jika sabit boleh dihukum penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-dua sekali.

"Pihak polis kontinjen Sarawak mengesan satu hantaran tular melibatkan bekas TYT (Tuan Yang Terutama) Sarawak yang telah dimuat naik dalam media sosial," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mancha bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan dan membuat sebarang spekulasi berhubung laporan tular itu.

“Perbuatan menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” ujarnya.

BACA LAGI: Taib Mahmud gering di luar negara, tak perlu lantik pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak

WhatsApp Image 2024-02-05 at 16.22.14

Foto tular dipercayai kediaman Tun Taib Mahmud dipenuhi dengan bungkusan kotak dan bagasi yang dibalut dengan kemas.

BACA LAGI: Carian nama Taib Mahmud tiba-tiba trending, Astana Negeri Sarawak sahkan TYT sihat

Sebelum ini tular satu laporan polis mendakwa Tun Taib Mahmud yang sedang dirawat di unit rawatan rapi di sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak dibawa keluar oleh ahli keluarga terdekatnya.

Individu berkenaan didakwa telah mengalihkan semua peralatan perubatan yang melekat pada tubuh Tun Taib Mahmud tanpa makluman kakitangan hospital sebelum beliau diusung keluar menggunakan kerusi roda dan menaiki sebuah kenderaan.

Dalam masa sama, muncul foto-foto memaparkan keadaan kediaman ahli politik berusia 88 tahun itu yang terletak di Demak Jaya, Jalan Bako, Kuching.

Kawasan ruang tamu tersebut dilihat dipenuhi dengan bungkusan kotak dan bagasi yang dibalut dengan kemas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram