Carian nama Taib Mahmud tiba-tiba trending, Astana Negeri Sarawak sahkan TYT sihat


  • Tular
  • Khamis, 22 Jun 2023

Carian nama 'Taib Mahmud' popular di Facebook dan Twitter pada Khamis. — UKAS

TIADA angin tiada ribut tetapi nama 'Taib Mahmud' tiba-tiba trending di media sosial pada Khamis.

Semakan Majoriti mendapati carian nama 'Taib Mahmud' popular di Facebook dan Twitter yang mungkin menunjukkan orang ramai mahu mengetahui perkembangan terbaharu Yang Dipertua Negeri Sarawak (TYT) itu.

Mungkin populariti carian nama Taib Mahmud atau Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud didorong oleh berita palsu yang mendakwa beliau meninggal dunia pada Khamis.

Kenyataan Media

Kenyataan media yang dikeluarkan Astana Negeri Sarawak.

Sementara itu, Astana Negeri Sarawak menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa bekas Ketua Menteri Sarawak itu meninggal dunia.

"Astana Negeri Sarawak ingin memberi jaminan kepada semua rakyat Sarawak bahawa Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berada dalam keadaan sihat.

"Kami ingin memberi jaminan bahawa semua berita tular berhubung kesihatan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud adalah palsu dan tidak benar.

"Kami juga berharap dengan kenyataan akhbar ini, semua laporan palsu dan khabar angin mengenai keadaan beliau tidak disebarkan," jelas kenyataan Astana Negeri Sarawak pada Khamis. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram