[VIDEO] 'Ada duit kopi ka?', orang asal Sarawak pertikai status warganegara Ragad Waleed


  • Tular
  • Selasa, 25 Jul 2023

Tangkap layar sekumpulan orang asal Sarawak tampil mempertikaikan kewarganegaraan Ragad Waleed.

ORANG asal Sarawak tampil mempertikaikan taraf warganegara isteri kedua Gabenor Sarawak, Ragad Waleed Al-Kurdi yang mendapat 'keistimewaan' oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini.

Ragad yang berasal dari Syria dan berkahwin dengan Tun Abdul Taib Mahmud pada 2010, mendapat kerakyatan selepas enam tahun menetap di negara ini.

Dalam satu rakaman tular berdurasi satu minit 40 saat di laman media, memaparkan sekumpulan penduduk asal Sarawak yang mencabar keputusan tersebut.

Mendakwa ada unsur rasuah dan penipuan dalam perkara tersebut, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JPN juga diminta untuk menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

"Sebab itu, SPRM kena pergi siasat, ada duit kopi ke dalam hal itu, batalkan segera status yang diberikan kepadanya," ujar salah seorang daripada kumpulan tersebut.

Dalam pada itu, kumpulan terbabit juga menggesa agar kewarganegaraan Ragad Waleed Al-Kurdi dibatalkan segera selain mencabarnya untuk memberikan ucapan dalam bahasa Melanau.

Untuk rekod, Abdul Taib diijabkabulkan dengan Ragad pada 2010 selepas kematian Puan Sri Laila Taib akibat kanser.

Selepas enam tahun bergelar pasangan suami isteri, Ragad mencuri perhatian ramai apabila dilihat mengundi secara sah dalam pilihan raya yang sekali gus menimbulkan isu taraf kewarganegaraan dimilikinya pada 2016.

Kelulusan kerakyatannya dalam tempoh yang singkat mencetuskan pelbagai spekulasi serta dakwaan mengatakan wujudnya tangan-tangan ghaib tersembunyi yang mendorong proses itu dipercepatkan.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung bantahan tersebut dengan orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi berkaitan perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram