Pernah jadi peguam dan tulis buku, Tun Dr Wan Junaidi kini TYT Sarawak ke-8


  • Primer
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Wan Junaidi (kiri) dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa pada Jumaat. — Astana Negeri Sarawak

BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang di-Pertua (TYT) Sarawak kelapan pada Jumaat.

Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.

Berdasarkan posting Jabatan Penerangan Sarawak di Facebook, pelantikannya itu sekali gus menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, 88, yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh pada 1 Mac 2014.

BACA LAGI : Wan Junaidi letak jawatan, dijangka ganti Taib Mahmud TYT Sarawak

Wan Junaidi, 77, menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan TYT Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Fadillah Yusof dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

BACA LAGI : Carian nama Taib Mahmud tiba-tiba trending, Astana Negeri Sarawak sahkan TYT sihat

WhatsApp Image 2024-01-26 at 12.28.38

Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.— Astana Negeri Sarawak

Pada istiadat sama, Wan Junaidi turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.

Dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946, beliau menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM).

Beliau kemudiannya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Buckingham, England pada tahun 1978 sebelum menjadi pengamal undang-undang dari 1982 hingga 2008.

Untuk rekod, Wan Junaidi memulakan karier politiknya sebagai seorang wakil rakyat bermula pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum kelapan yang dipertahankannya untuk dua penggal.

Beliau kemudian berpindah ke Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004 dan berjaya mempertahankannya untuk empat penggal berturut-turut hingga pilihan raya umum pada 2022.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram