[VIDEO] Bergaduh pasal sekolah, pasangan bertengkar sanggup biarkan anak menangis tepi jalan raya sibuk


  • Benua
  • Sabtu, 03 Feb 2024

Tangkap layar video seorang kanak-kanak menangis ketakutan selepas ditinggalkan kedua ibu bapanya yang bergaduh di tengah-tengah jalan di Hangzhou pada tahun lalu. — Agensi

ISU keganasan rumah tangga diklasifikasikan sebagai penyalahgunaan kuasa seseorang terhadap orang lain dalam suasana domestik sehingga menyebabkan kecederaan dan gangguan mental.

Ia boleh meliputi keganasan yang dilakukan terhadap pasangan, kanak-kanak, orang tua, orang dewasa yang tidak berkeupayaan atau ahli keluarga yang lain.

Namun, jika melihat kepada kes yang dilaporkan oleh media sama ada di dalam atau luar negara, keganasan rumah tangga ini sering kali melibatkan pasangan terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Pada tahun lalu, tular satu video memaparkan seorang budak lelaki di Hangzhou, China diselamatkan oleh orang ramai selepas diabaikan oleh ibu bapanya yang bertengkar di tepi jalan raya.

Malah tindakan bapanya yang mengheret keluar ibu budak lelaki tersebut keluar daripada kenderaan mereka turut dikecam.

BACA LAGI : [VIDEO] Perompak sempat sapa 'aunty' sebelum samun tiga beranak di Mentakab

BACA LAGI : [VIDEO] Ajal berbasikal, budak lelaki maut digilis lori di Telok Gong

Memetik laporan media antarabangsa, South China Morning Post, insiden itu berlaku pada 7 Disember lalu.

Melalui video yang dikongsikan, kelihatan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Porsche berhenti secara tiba-tiba di sebuah jalan raya yang sesak di Hangzhou.

Seorang pemandu lelaki kemudian keluar dan menuju ke arah pintu belakang kereta lalu menarik seorang wanita serta budak lelaki ke dalam pelukannya secara kasar.

Pasangan itu kemudian dilihat bertengkar dan menjerit antara satu sama lain. Pada masa sama turut kedengaran wanita itu menjerit ke arah suaminya.

“Tiada siapa mahu tinggal bersama orang seperti kamu," katanya.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu turut kelihatan menangis dengan kuat semasa ibu bapanya bertengkar.

Namun, dia bernasib baik apabila seorang lelaki menghentikan keretanya di tepi jalan lalu membawa kanak-kanak tersebut ke arah kereta pasangan itu.

Dia kemudian menegur pasangan tersebut untuk berhenti bertengkar.

Difahamkan, pasangan tersebut bergaduh berkenaan isu pendidikan anak mereka.

Selepas video itu tular dan menerima kritikan di media sosial, lelaki tersebut meminta maaf kepada isterinya dan orang awam.

“Saya tidak akan buat begitu lagi. Saya akan cuba berbaik-baik dengan isteri saya. Saya berterima kasih kepada pemandu yang baik hati yang menyelamatkan anak saya tepat pada masanya.”

Wanita itu juga meminta maaf kepada suaminya, selain berkata dia tidak sepatutnya bertengkar dengannya semasa dia memandu.

Video berdurasi kurang seminit itu masih lagi menjadi bualan ramai sehingga kini dan ramai yang bersimpati dengan kanak-kanak malang tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram