Pembebasan Najib tak beri sebarang nilai tambah kepada rakyat — Anwar


  • Massa
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Hanya penyokong kecil Najib yang didakwa mahukan pembebasan itu dilaksanakan. — The Star

ISU pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terkait dalam kes 1Malaysian Development Berhad (1MDB) kini dilihat semakin rancak dibualkan.

Tetapi bagi, penganalisis politik, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah menyifatkan, pembebasan Najib tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara mahupun rakyat.

Ia kerana, agenda yang diguna pakai pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri itu dikatakan sudah tidak sesuai untuk keadaan ekonomi sekarang.

BACA LAGI : Andai benar dapat pengampunan, 5 perkara yang boleh dilakukan Najib Razak

msg1050426791-24271

Skim bantuan secara tunai yang sering dilakukan Najib suatu ketika dahulu dikatakan tidak sihat untuk ekonomi dalam jangka masa panjang. — The Star

Menurutnya, segala bantuan berbentuk wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau lainnya ketika itu semata mengambil hati rakyat di kala Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, permintaan masyarakat yang mahukan Najib dibebaskan untuk membantu rakyat juga tidak ramai.

“Rakyat yang dimaksudkan itu sebenarnya bukan semua mahukan Najib kembali atau yakin untuk jadikannya sebagai Perdana Menteri.

“Yang yakin sangat dengan Najib kebanyakannya penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI : Najib bebas: Tunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan Negara, tegas Fahmi Fadzil

msg1050426791-24272

Anwar tidak menafikan kemungkinan tentang kemunculan semula Najib dalam dunia politik jika dibebaskan.

Anwar berkata, dia tidak menafikan bahawa setiap pemimpin atau ahli politik mempunyai penyokongnya sendiri termasuk Najib.

Namun, katanya, apa yang perlu dilihat adalah penyokong Najib sahaja menyuarakan untuk mengembalikan pentadbirannya.

Penyokong itu juga dianggap sebagai kumpulan kecil yang dikatakan kononnya yakin akan menerima habuan jika Najib kembali.

“Mereka ini banyak bersuara tentang perkara tersebut kerana menganggap akan menerima banyak bantuan dan sebagainya.

"Bagi saya, jika pendekatan untuk memberi pelbagai bantuan dalam bentuk wang tunai adalah tidak sihat kerana ia lebih menambah beban kepada hutang negara," katanya.

Bukan itu sahaja, Anwar berkata, potensi untuk Najib menubuhkan parti politik baharu jika dapat meneruskan kerjayanya dalam bidang politik itu juga amat mustahil.

Menubuhkan sesebuah parti itu dilihat mudah namun, mengekalkannya sehingga bertahun lama dikatakan sangat sukar untuk dilakukan.

Anwar berkata demikian kerana melihat kepada kegagalan beberapa parti baharu pernah ditubuhkan sebelum ini seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada 2020 yang dipimpin tokoh terkenal, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jadi untuk Najib menubuhkan parti politik baharu jika dia dibebaskan, saya rasa amat mustahil kerana tidak mungkin ia akan jatuh begitu sahaja.

"Buktinya, kita boleh lihat cubaan Mahathir tubuhkan parti baharu ketika itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk menentang BN," jelasnya.

Sementara itu, Anwar juga menyatakan bahawa kemungkinan untuk Najib kembali bergiat aktif dalam dunia politik tidak dapat disangkal dan rakyat juga tiada masalah menerima pemimpin yang mempunyai kluster mahkamah sebagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lembaga Pengampunan dalam pengumumannya pada Jumaat mengesahkan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

"Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Datuk Seri Najib bin Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

"Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta," jelas kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram