ADAKAH satu berita gembira akan tiba dalam dunia sukan permotoran Malaysia?
Hal ini kerana, selepas sekian lama menyepi, Litar Antarabangsa Petronas Sepang dijangka kembali hangat dengan deruman enjin jentera Formula 1.
Litar yang sebelum ini dikenali sebagai Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu dikatakan dalam usaha untuk membawa semula Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir diadakan pada 2017.
Memetik laporan Careta, Petronas dilaporkan dalam usaha untuk membawa semula Formula 1 dalam kalendar perlumbaan tahun litar terbabit dengan ia dijangka akan kembali membuat kemunculan pada 2026.
Jika ia benar-benar kembali, tahun 2026 cukup signifikan buat Formula 1 apabila sukan tersebut akan menggunakan peraturan baharu.
BACA LAGI: Ramai kecewa Perak lepaskan penyerang Korea tapi kekalkan Luka Milunovic
Formula 1 di Sepang dihentikan pada 2017. — Agensi
BACA LAGI: Kekal warna Hijau Kuning, Sang Kenari wajib buru sentuhan samba perkuat ‘backfour’
Petronas yang memiliki hak penjenamaan terhadap litar kebanggaan negara itu menjadi arkitek kepada usaha membawa Formula 1 kembali ke Malaysia.
Dengan Petronas turut mempunyai pasukan dalam saingan tersebut iaitu Mercedes AMG Petronas F1 Team, pastinya mereka tidak mahu membiarkan peluang untuk menjadi tuan rumah kepada salah satu perlumbaan Formula 1.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia ada menolak kemungkinan untuk mengadakan semula Formula 1 kerana faktor kos penganjurannya yang terlalu tinggi.
Namun kini dengan adanya Petronas, mungkin mereka akan memberikan bantuan secukupnya untuk membolehkan aksi permotoran terulung dunia itu diadakan semula di Malaysia.
Pada 2017, keputusan SIC untuk menarik diri daripada menganjurkan perlumbaan Formula 1 juga dengan alasan sama ditambah jualan tiket yang mengalami penurunan.
Perlumbaan di Sepang sering dinanti-nantikan oleh peminat Formula 1 di seluruh dunia kerana cabaran yang ditawarkan litar tersebut termasuklah cuaca panas yang sering menggugat fokus para pelumba.
Malah, para pelumba Formula 1 juga mengakui litar Sepang antara yang terbaik di dunia. Jika benar Formula 1 kembali ke Malaysia, pastinya seluruh dunia akan tertumpu kepada kita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram